12,000 saintis data diperlukan

12,000 saintis data diperlukan

PUTRAJAYA, 3 Sept (Bernama) – Sejumlah 12,000 lagi saintis data diperlukan dalam tempoh lima tahun akan datang untuk menggerakkan ekonomi yang dipacu data di Malaysia, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata setakat 2014, terdapat 4,000 saintis Big Data di dalam negara dan kerajaan sedar permintaan yang meningkat daripada sektor awam dan komersial untuk perkhidmatan saintis data.

Bagi mengatasi kekurangan saintis data, beliau berkata kerajaan telah memulakan pelbagai inisiatif termasuk menubuhkan Pusat Kompetensi Big Data di institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

“Pada asasnya, kami mahu bersaing dalam ekonomi data pada skala global.

Penubuhan pusat sedemikian adalah manifestasi aspirasi kami untuk memupuk ekosistem itu, menyasarkan kepada perangsangan penyelidikan dan inovasi, di atas jalinan perkongsian swasta dan kerajaan,” kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis pelancaran persidangan antarabangsa “Soft Computing in Science Data 2015” dan Persidangan Antarabangsa Mengenai Perangkaan dalam Sains, Perniagaan dan Kejuruteraan 2015 anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, hari ini.

Idris berkata Pusat Kompetensi Big Data sudah ditubuhkan di lima universiti awam iaitu, Universiti Utara Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Malaysia Sarawak dan Politeknik Ibrahim Sultan.

Beliau berkata analisis data besar mempunyai potensi besar dalam pelbagai sektor daripada “bio-informatics” kepada perubatan dan “health-informatics”, kajian genom, keselamatan makanan, keberkesanan cuaca dan sumber selain daripada sistem pengangkutan pintar dan bandar pintar.

“Adalah lebih kritikal bagi Malaysia untuk menyertai trend global penganalisisan Big Data, kerana kami memerlukan sumber dan kepakaran untuk memberikan kami kelebihan saing dalam menyemarakkan penyelidikan, pembangunan dan inovasi, yang akan meningkatkan produktiviti negara,” kata Idris.

ARTIKEL YANG SAMA