121 ahli bomba pelatih tamat kursus

121 ahli bomba pelatih tamat kursus

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jun – Seramai 121 ahli bomba pelatih, termasuk 25 wanita telah menamatkan latihan kursus asas mereka bagi sesi 2014/2015.

Perbarisan tamat latihan bagi Skuad ke-146 (ahli bomba pelatih lelaki) dan Skuad ke-9 (ahli bomba pelatih wanita) berlangsung di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat, Lapangan Terbang Lama Berakas dan dihadiri oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Mohd ‘Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abdul Salam, selaku tetamu kehormat.

Sepanjang tempoh latihan, para peserta didedahkan dengan program seperti kawad kaki, kawad kebombaan, pelajaran kebombaan, program kelas bimbingan membaca Al-Quran dan Muqaddam serta Taklimat Perancangan Kewangan daripada Takaful Insurans TAIB.

Mereka juga mengikuti pelbagai ujian-ujian seperti ujian bertulis, ujian berkawad, ujian praktikal, ujian praktikal dan bertulis kebakaran kapal terbang dan ujian pertolongan cemas.

Haji Mohd ‘Abdoh dalam ucapannya menasihatkan para pelatih yang tamat kursus agar sentiasa menjaga sikap hormat menghormati di antara satu sama lain selain mematuhi akta bomba serta peraturan-peraturan yang telah ditetapkan bagi setiap warga perkhidmatan awam.

Haji Mohd ‘Abdoh menyerahkan anugerah kepada pelatih terbaik wanita.
Haji Mohd ‘Abdoh menyerahkan anugerah kepada pelatih terbaik wanita.
Tetamu kehormat menyampaikan ucapan di upacara berkenaan.
Tetamu kehormat menyampaikan ucapan di upacara berkenaan.

Perangai yang baik dapat dijadikan contoh di kalangan pasukan dan orang awam dengan menjauhi gejala-gejala sosial dan seterusnya menjaga dan meningkatkan imej Jabatan Bomba dan Penyelamat, katanya.

Beliau turut menyampaikan anugerah terbaik kepada empat ahli bomba pelatih lelaki dan empat orang ahli bomba pelatih wanita yang terbaik dalam semua jurusan, terbaik dalam teori, terbaik dalam praktikal dan terbaik dalam latihan jasmani dan juga kepada seorang jurulatih terbaik.

ABPL Abd Aziz bin Hj Hassan menerima Anugerah Teori Terbaik; ABPL Nurfirdaus bin Abd Harris menerima Anugerah Praktikal Terbaik; ABPL Muhd Amaluddin bin Hamidon menerima Anugerah Latihan Jasmani Terbaik; ABPL Mohd Sharul Azmi bin Haji Masri menerima Anugerah Semua Jurusan.

Manakala bagi Anugerah Ahli Bomba Pelatih Terbaik Wanita pula, ABPW Masazrina@Rina binti Marak muncul sebagai penerima Anugerah Teori Terbaik; ABPW Dk Masnurulaini binti Pg Md Daud menerima Anugerah Praktikal Terbaik; ABPW Siti Rasyidah binti Masdi menerima Anugerah Latihan Jasmani Terbaik dan ABPW Mursyahirah binti Muhammad Syazwan Teo menerima Anugerah Semua Jurusan.

Sementara itu Penolong Balai, Masri bin Haji Ibrahim telah dianugerahkan sebagai Jurulatih Terbaik.

ARTIKEL YANG SAMA