123 pekerja didapati belum berdaftar

123 pekerja didapati belum berdaftar

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mac – Tabung Amanah Pekerja (TAP) melalui Unit Penguatkuasaan dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Buruh, semalam, telah mengadakan Lawatan Bersepadu ke premis-premis perniagaan di sekitar kawasan Gadong, di sini.

Tujuan utama lawatan ini adalah bagi memastikan majikan telah menjalankan tanggungjawab dalam pendaftaran dan pembayaran caruman pekerja-pekerja tempatan ke skim TAP dan SCP, pada masa yang sama memastikan majikan mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Buruh bagi pekerja tempatan dan pekerja asing adalah selaras dengan Perintah Pekerjaan 2009.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, hasil daripada lawatan ke 28 buah premis, pegawai-pegawai penguatkuasaan TAP telah mendapati, daripada 123 orang pekerja seramai tujuh orang pekerja tempatan masih belum didaftarkan di bawah skim TAP dan SCP.

Manakala itu, seramai 21 orang pekerja yang terdiri daripada pekerja tempatan dan pekerja asing telah disoal siasat oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Buruh dan mendapati pihak majikan tidak memberikan bayaran kerja lebih masa dan tiada cuti rehat satu hari dalam satu minggu.

Jabatan Buruh menekankan, mereka tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas majikan yang memandang ringan akan isu kesejahteraan pekerja.

Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Buruh menjalankan pemeriksaan di salah sebuah premis.
Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Buruh menjalankan pemeriksaan di salah sebuah premis.

Sehubungan itu, Jabatan Buruh juga memberikan peringatan kepada orang ramai dan majikan supaya tidak menyalahgunakan Lesen Mengambil dan Menggaji Pekerja Asing yang diberikan.

Kesalahan mengambil dan menggaji pekerja asing tanpa kebenaran Pesuruhjaya Buruh, boleh diambil tindakan di bawah Bab 112 (1) Perintah Pekerjaan, 2009. Jika sabit kesalahan boleh diambil tindakan undang-undang di bawah Bab 112 (3) perintah yang sama iaitu didenda tidak kurang $6,000 dan tidak lebih $10,000 atau penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala itu, TAP turut memaklumkan bahawa pekerja yang terdiri daripada rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang mencukupi syarat adalah wajib didaftarkan dan dicarumkan ke skim TAP dan skim SCP.

Ini termasuklah pekerja sementara, pekerja berkontrak, pekerja bergaji hari, dan pekerja dalam tempoh percubaan. Di bawah Bab 26, Akta Amanah Pekerja (Penggal 167), jika sabit kesalahan, majikan boleh didenda tidak kurang $3,000 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih $10,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Sebarang pertanyaan bolehlah dibuat dengan mengunjungi mana-mana cawangan TAP yang berdekatan, atau menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2382800 semasa waktu bekerja.

Lawatan bersepadu ini merupakan yang pertama kali diadakan bagi tahun 2016 dan kerjasama ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang dalam memastikan kesejahteraan pekerja di negara ini terjaga.

ARTIKEL YANG SAMA