126 orang ter...

126 orang terima PKL

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 April – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan mengurniakan Pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam, Pingat Kerja Lama (P.K.L) kepada seramai 126 orang pegawai dan kakitangan awam di Kementerian Pertahanan sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-70 bagi tahun 2016.

Majlis pengurniaan pingat tersebut berlangsung di Dewan Wira Seni, Bangunan Pancaragam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Bolkiah Garison dan disampaikan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit.

Pengurniaan pingat tersebut merupakan satu pengiktirafan atas segala sumbangan prestasi kerja dan curahan jasa bakti setiap pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam di kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Turut hadir dalam majlis penyampaian pingat P.K.L ialah Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah, Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Kapten (B) Abd Rahman bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar, TLDB, pemerintah-pemerintah angkatan tentera, timbalan-timbalan setiausaha tetap serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan.

ATAS/BAWAH: Timbalan Menteri Pertahanan menyampaikan P.K.L kepada salah seorang penerima.
ATAS/BAWAH: Timbalan Menteri Pertahanan menyampaikan P.K.L kepada salah seorang penerima.

Salah seorang penerima P.K.L. Pegawai Selidik Kanan, Haji Azlan bin Haji Abdul Ghani yang telah berkhidmat di Kementerian Pertahanan selama 24 tahun ketika ditemui menyatakan rasa bersyukur dan bangga kerana diiktiraf sebagai pekerja lama dengan prestasi yang baik.

“Penganugerahan P.K.L ini bukan saja satu pengiktirafan tetapi ia juga sebagai satu penghargaan yang sangat bermakna,” katanya sambil menambah bahawa para pegawai dan kakitangan kerajaan haruslah ikhlas dalam bekerja, jujur dan menyumbangkan perkhidmatan yang terbaik.

Awang Asrah bin Haji Tuah.
Awang Asrah bin Haji Tuah.
Haji Azlan bin Haji Abdul Ghani.
Haji Azlan bin Haji Abdul Ghani.

Beliau berharap para pegawai dan kakitangan awam dapat mempertingkatkan lagi prestasi masing-masing dalam usaha untuk mencapai wawasan 2035 di mana semua peringkat pegawai dan kakitangan harus menyumbangkan dan memberikan prestasi yang terbaik dan cemerlang untuk kebaikan negara.

Bagi Awang Asrah bin Haji Tuah, yang mula bertugas di Kementerian Pertahanan selama 26 tahun sejak 1991, beliau amat gembira dan bersyukur kerana dikurniakan pingat kehormatan Negara Brunei Darussalam ini.

Beliau berharap pengurniaan pingat itu dapat merangsang lagi semangat warga Kementerian Pertahanan untuk melaksanakan tugasan dengan penuh ikhlas, jujur, amanah dan bertanggungjawab.