13 dicekup dalam Operasi Bersepadu

13 dicekup dalam Operasi Bersepadu

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Feb – Seramai 13 warga asing termasuk tujuh perempuan telah ditahan sementara di Bahagian Penguat kuasa Undang-undang, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen yang mengandungi pas Imigresen yang masih sah semasa Operasi Bersepadu Kesan JIPK , baru-baru ini.

Ketika pemeriksaan dijalankan di salah sebuah bilik sewa di bangunan persendirian Mukim Kianggeh di ibu negara, seorang perempuan warganegara asing didapati bersembunyi di tempat penyimpanan barang berdekatan dengan siling bilik bagi mengelak daripada tertangkap akan tetapi dapat dikesan oleh pegawai-pegawai penguat kuasa.

Dalam operasi itu juga, Bahagian Pencegah, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) turut mencatatkan satu kes lelaki tempatan yang didapati menyimpan rokok tanpa amaran Kesihatan NBD di salah sebuah bilik sewa bangunan persendirian di Mukim Kianggeh.

Bahagian Penguat kuasa Agama juga telah mencatatkan satu kes yang melibatkan pasangan perempuan warganegara asing dan lelaki tempatan yang gagal menunjukkan mereka adalah pasangan suami isteri yang sah.

Manakala itu, Bahagian Penguat kuasa, Jabatan Buruh telah mendapati tujuh warga asing iaitu seorang lelaki bekerja sebagai pemandu persendirian dan enam wanita memiliki pas jaminan amah dengan kesalahan tinggal berasingan dengan majikan yang mendorong majikan melakukan kesalahan di bawah Bab 112(1) Perintah Pekerjaan 2009.

Seorang perempuan warga asing yang didapati cuba untuk bersembunyi namun berjaya dikesan oleh pegawai penguat kuasa.
Seorang perempuan warga asing yang didapati cuba untuk bersembunyi namun berjaya dikesan oleh pegawai penguat kuasa.

Menurut kenyataan JIPK yang diterima hari ini, operasi yang bermula dari jam 10:30 malam hingga 3:45 pagi itu, melibatkan 137 orang pegawai dari tujuh buah agensi iaitu Bahagian Penguatkuasaan JIPK, Bahagian Penguatkuasaan Buruh, Bahagian Penguatkuasaan Agama, Bahagian Pencegah JKED, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Polis Diraja Brunei cawangan Bandar Seri Begawan (Unit Siasatan dan Jenayah Perdagangan Manusia dan CID) dan Biro Kawalan Narkotik.

Operasi tersebut menyasarkan bilik-bilik sewa di tiga buah flat bangunan persendirian dan sebuah rumah sewa yang berasingan di Mukim Kianggeh, di ibu negara.

Ia antara lain bertujuan bagi menyatupadukan agensi penguatkuasaan di negara ini dengan mengongsi maklumat dan menguatkuasakan undang-undang dan peraturan masing-masing bagi melaksanakan operasi bersama.

Selain itu, bagi membuat pemeriksaan ke atas rumah dan bilik sewa yang didiami oleh warganegara asing dan memastikan mereka tinggal di negara ini dengan memiliki pas imigresen yang masih sah serta warganegara asing yang tinggal bersama pasangan dapat membuktikan mereka adalah pasangan suami isteri yang sah dari segi undang-undang.

Ke arah aktiviti penguatkuasaan di negara ini, JIPK mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung pesalah imigresen dengan menghubungi talian hotline 8734888 dan 8753888.

Sebarang maklumat dan nama pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.

ARTIKEL YANG SAMA