13 kes curi kereta berjaya diselesaikan

13 kes curi kereta berjaya diselesaikan

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Dis – Seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun telah ditahan oleh Pegawai Bahagian Siasatan Jenayah (CID) Daerah Polis Tutong pada 23 Disember 2015 kerana disyaki terlibat dalam beberapa kes curi kereta.

Pemangku Ketua Unit Perhubungan Awam, Pasukan Polis Diraja Brunei, ASP Haji Mohamad Noor bin Haji Abd Rahman dalam satu kenyataan berkata, hasil siasatan polis mendapati, lelaki itu disyaki terlibat dengan kes yang dilaporkan di Balai Polis di Daerah Tutong, Balai Polis Kuala Belait, Balai Polis Sengkurong dan Balai Polis Berakas.

Dia telah pun dibawa ke mahkamah pada 25 Disember 2015 dan diarahkan untuk ditahan reman di Balai Polis Berakas untuk disoal siasat dengan lebih lanjut.

Antara kereta curi yang ditemui semula susulan penahanan tiga lelaki tempatan baru-baru ini.
Antara kereta curi yang ditemui semula susulan penahanan tiga lelaki tempatan baru-baru ini.

Menurut ASP Haji Mohamad Noor lagi, hasil siasatan lanjut ke atas lelaki tersebut, dua orang lelaki warga tempatan masing-masing berusia 29 dan 39 tahun, yang dipercayai terlibat sama turut berjaya ditahan oleh CID Daerah Polis Tutong dan beberapa buah kereta yang dicuri berjaya diperolehi semula.

Polis percaya sebanyak 13 kes curi kereta termasuk sebuah perahu dan sebuah motosikal, terlibat dalam kes berkenaan dan kerugian dianggarkan berjumlah $34,043.

Atas arahan mahkamah, dua orang tahanan dilepaskan dengan ikat jamin dan seorang lagi dilepaskan dengan ikat jamin mahkamah. Kes ini akan didengar semula di Mahkamah Bandar Seri Begawan pada 4 Januari 2015.

ARTIKEL YANG SAMA