13 maut perlanggaran bot di Thailand

13 maut perlanggaran bot di Thailand

BANGKOK, 18 Sept – Sekurang-kurangnya 13 orang mati hari ini apabila sebuah bot yang padat dengan penumpang, karam di Sungai Chao Phraya selepas melanggar sebuah jambatan, pegawai tindakbalas kecemasan mengatakan.

Kemalangan berlaku berhampiran bandar kuno Ayutthaya, sebuah tarikan pelancong popular, meskipun tiada warga asing dipercayai antara yang terbunuh.

“Terdapat 13 orang disahkan mati dan 33 cedera setakat ini,” kata ketua pencegahan bencana, Udomsak Khaonoona di bandar kira-kira 80km ke utara Bangkok itu.

“Bot itu cuba mengelak sebuah kapal dan terlanggar bahagian konkrit jambatan,” katanya memberitahu AFP, menambah penumpang adalah penduduk tempatan.

Kira-kira 100 penumpang dipercayai berada dalam bot itu dengan empat belum ditemui, kata Udomsak.

Pasukan penyelamat Thai mencari mangsa-mangsa selepas sebuah bot karam di Sungai Chao Phraya di wilayah Ayutthaya, Thailand. Seramai 13 maut, manakala 33 cedera dalam nahas itu. – AP
Pasukan penyelamat Thai mencari mangsa-mangsa selepas sebuah bot karam di Sungai Chao Phraya di wilayah Ayutthaya, Thailand. Seramai 13 maut, manakala 33 cedera dalam nahas itu. – AP

Rakaman video disiarkan oleh Khaosod TV menunjukkan babak mencemaskan ketika pekerja penyelamat cuba mendekati bot malang itu, dengan buritannya separuh di dalam air.

Penyelamat membaling tali untuk membantu mangsa berenang ke tepian ketika yang lain memberikan pertolongan cemas kepada mangsa-mangsa yang pengsan di tebing sungai.

Di sebalik kekayaannya berbanding negara jiran dan sektor pelancongan besar, kemalangan sering berlaku dalam rangkaian pengangkutan awam Thailand. Peraturan keselamatan sering kali tidak dikuatkuasakan dengan tegas. – AFP