13 nelayan hilang ditemui

13 nelayan hilang ditemui

KOTA KINABALU, 11 Okt – Kesemua 13 nelayan termasuk dua kru dan seorang tekong yang dilaporkan hilang selepas keluar memancing sejak Jumaat dan ditemukan selamat semalam, tiba di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu di Sepanggar, dekat sini, hari ini.

Kesemua mereka yang ditemukan selamat oleh pasukan penyelamat kira-kira 25 batu nautika barat laut dari Pulau Mantanani pada kira-kira 1:20 tengah hari semalam, tiba di pangkalan itu pada kira-kira 8:30 pagi ini.

Ketibaan mereka disambut Panglima Wilayah Laut 2 TLDM, Laksamana Muda Datuk Khairul Anuar Yahya dan Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som serta anggota keluarga mereka.

Bercakap kepada pemberita, Khairul Anuar berkata bot kumpulan pemancing itu ditunda oleh Kapal Diraja (KD) Jerong dari Pulau Mantanani di Kota Belud ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu sejak petang semalam.

“Jika (mereka) ada masalah (kesihatan), kami ada kemudahan kesihatan di sini (Pangkalan TLDM Kota Kinabalu) untuk rawatan,” katanya.

Seramai 13 pemancing termasuk juragan dan dua kru bot yang hilang, selamat mendarat di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia Kota Kinabalu pagi kelmarin. – Bernama
Seramai 13 pemancing termasuk juragan dan dua kru bot yang hilang, selamat mendarat di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia Kota Kinabalu pagi kelmarin. – Bernama

Sebanyak 83 anggota penyelamat daripada TLDM dan APMM Sabah terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat selain bantuan daripada anggota penyelamat lain iaitu polis marin dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

Sementara itu, Mohd Zubil mengingatkan semua pemilik bot dan kapal mengambil langkah keselamatan termasuk memasang Sistem Pengesanan Automatik (AIS) bagi memudahkan perhubungan dan pengesanan oleh pasukan keselamatan sekiranya mereka berhadapan masalah ketika berada di laut.

Beliau berkata semua pemilik bot dan kapal juga perlu menyediakan jaket keselamatan dan sistem radio di bot dan kapal masing-masing.

Pada Ahad, operasi mencari dan menyelamat kesemua 10 pemancing termasuk dua kru dan seorang tekong itu dilancarkan selepas menerima laporan mengenai kehilangan mereka.

Mereka keluar memancing dengan menaiki bot dari jeti Lembaga Pemasaran Ikan Sabah (Safma) di sini pada kira-kira 10 pagi Jumaat lepas, dan dijadualkan pulang ke Kota Kinabalu pada 1 tengah hari. – Bernama