13 pemain boling bakal berentap di Pulau Pinang

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 6 Dis – Seramai 13 pemain Persatuan Boling Sepuluh Pin Daerah Belait akan menyertai Kejohanan Boling Antarabangsa Pulau Pinang Edisi ke-45 yang akan berlangsung dari 8 hingga 16 Disember ini.

Majlis Penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam kepada ketua rombongan yang akan berlepas ke Pulau Pinang, Malaysia telah berlangsung semalam di Dewan VIP Pusat Insani.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyerahan bendera dan menyumbang baju-baju pemain ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Rombongan yang terdiri daripada lapan orang pemain lelaki dewasa, seorang lelaki remaja dan empat orang wanita ini diketuai oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Persatuan Boling Sepuluh Pin Daerah Belait, Dr Sannay bin Haji Mohammad,

Terdahulu, Pengerusi Persatuan Boling Sepuluh Pin Daerah Belait, Abang Haji Zamhor bin OKPSD Abang Haji Hanifah semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya berkata, pemain-pemain yang akan menyertai kejohanan tersebut terdiri daripada empat orang menyertai kategori senior dan lapan orang kategori graded.

Penyerahan bendera negara kepada ketua rombongan disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi menyerahkan baju sumbangan kepada salah seorang pemain sambil disaksikan oleh Pengerusi Persatuan Boling Sepuluh Pin Daerah Belait.

Kategori yang akan disertai adalah Kategori Graded B Lelaki dan Senior, Kategori Belia (bagi lelaki remaja) dan Kategori Graded B Wanita.

Menurutnya, tahun lepas persatuan itu mendapat tempat keempat dalam Kategori Graded melalui James Liew dan beliau berharap dengan adanya majlis penyerahan bendera negara dan sumbangan baju daripada Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan akan membangkitkan semangat para pemain yang akan berdepan saingan dari Korea Selatan, Singapura, Thailand, Australia, Taiwan, Filipina selain pemain-pemain elit dari Malaysia sendiri.

“Pemain-pemain telah membuat latihan selama dua bulan dengan menggunakan Oiling Pattern sama seperti yang akan diguna pakai di lokasi kejohanan itu nanti,” tambahnya.

Penyertaan ini juga bertujuan untuk meningkatkan mutu permainan para peserta sekali gus mempelajari taktik dan teknik permainan boling.