13 pemain boling Daerah Belait sertai kejohanan di S’wak

13 pemain boling Daerah Belait sertai kejohanan di S’wak

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 20 Nov – Seramai 13 pemain Persatuan Boling 10 Pin Daerah Belait telah menyertai Kejohanan Asian Intercity Ke-29 di Megalanes Adventure World Kuching, baru-baru ini.

Peserta berkenaan diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Persatuan, Abang Haji Zamhor bin OKPSD Abang Haji Abu Hanifah dan Setiausaha Tadbir persatuan, Haji Ahmadi bin Hashim selaku pengurus pasukan.

Antara pencapaian terbaik sepanjang kejohanan bagi persatuan ini ialah apabila pengerusinya berjaya melayakkan diri ke kelompok 16 pemain veteran terbaik dalam kategori ‘Men Senior’.

Ahli Persatuan Boling 10 Pin Daerah Belait bergambar ramai sempena Kejohanan Asian Intercity di Kuching, baru-baru ini.
Ahli Persatuan Boling 10 Pin Daerah Belait bergambar ramai sempena Kejohanan Asian Intercity di Kuching, baru-baru ini.

Penyertaan kali ini merupakan penyertaan ketiga persatuan selepas edisi pertama 2013 di Pulau Pinang dan edisi kedua di Filipina tahun lepas. Malaysia, Filipina, Macau, Hong Kong, Korea dan China adalah antara negara yang turut memeriahkan edisi kali ini dan yang lalu.

Kejohanan ini diadakan untuk mendedahkan para peserta dengan penyertaan serantau sebagai kayu pengukur kepada pencapaian ahlinya serta menambah pengalaman di samping bertukar-tukar pendapat dengan pemain negara lain.

ARTIKEL YANG SAMA