13 penceroboh Lahad Datu didapati bersalah

13 penceroboh Lahad Datu didapati bersalah

KOTA KINABALU, 25 Julai – Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini mendapati 13 daripada 14 tertuduh, yang telah memberi keterangan membela diri masing-masing dalam kes pencerobohan Lahad Datu, bersalah.

Sembilan daripada mereka termasuk Datu Amir Bahar Hushin Kiram, 53, anak kepada lelaki yang mendakwa dirinya Sultan Esmail Kiram, didapati bersalah melancarkan perang terhadap Yang Di-Pertuan Agong, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan denda.

Lapan yang lain ialah warganegara Filipina Atik Hussin Abu Bakar, 45, Basad H. Manuel, 41, Ismail Yasin, 76, Virgilio Nemar Patulada alias Mohammad Alam Patulada, 52, Salib Akhmad Emali, 63, Al Wazir Osman, 61, Tani Lahaddahi, 63, dan Julham Rashid, 69.

Hakim Stephen Chung dijangka menjatuhkan hukuman terhadap kesemua 13 tertuduh itu selepas mereka membuat rayuan terhadap hukuman masing-masing esok.

Beliau juga akan menjatuhkan hukuman terhadap beberapa individu yang telah mengaku bersalah pada Februari tahun ini.

Gambar fail - Sebahagian militan yang menceroboh Lahad Datu suatu ketika dahulu. – AP
Gambar fail – Sebahagian militan yang menceroboh Lahad Datu suatu ketika dahulu. – AP

Datu Amir Bahar, Salib Akhmad, Al Wazir, Tani dan Julham juga disabitkan bagi kesalahan kedua dengan menjadi anggota sebuah kumpulan pengganas, yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan denda.

Turut bersalah kerana menjadi anggota kumpulan pengganas ialah rakyat tempatan Abd Hadi Mawan, 52, serta warganegara Filipina Timhar Hadil, 39 dan bapanya, Hadil Suhaili, 68, yang meninggal dunia pada 24 April semasa dalam tahanan.

Satu-satunya tertuduh wanita dalam kes itu, Norhaida Ibnahi dari Filipina, didapati bersalah memberi sokongan kepada seorang yang diketahuinya anggota kumpulan pengganas, yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan denda, atau 20 tahun penjara dengan denda atau kedua-duanya.

Dalam penghakimannya, Hakim Chung berkata pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan terhadap 13 tertuduh itu.

Walaupun Datu Amir Bahar mendakwa berlakunya salah faham di antara bapanya dan bapa saudaranya Datu Agbimuddin Kiram, yang mengetuai pencerobohan di Kampung Tanduo, Chung berkata ada bukti menunjukkan Datu Amir Bahar sentiasa berkomunikasi dengan bapa saudaranya.

“Berdasarkan pintasan komunikasi, beliau didapati berhubung (dengan bapa saudaranya) semasa pertempuran itu di Kampung Simunul (Semporna).

“Ada (juga) keterangan yang meyakinkan tentang penglibatannya sebagai ‘Ketua Staf’ daripada ‘Pasukan Keselamatan Diraja’,” katanya.

Chung berkata pintasan komunikasi yang dilakukan polis terhadap Salib Akhmad dan Al Wazir juga menunjukkan bukti bahawa mereka berkomunikasi dengan pemimpin pencerobohan itu.

Hakim itu berkata saksi pendakwaan, yang telah diberi perlindungan, telah mengenal pasti Tani, Julham dan Abd Hadi sebagai anggota ‘Pasukan Tentera Diraja Sulu’, dan keterangannya tidak dicabar pihak pembelaan.

Mengenai Atik Hussin, Basad, Ismail dan Virgilio, Chung berkata beliau mendapati pengakuan bahawa mereka telah ditipu untuk datang bekerja di Sabah, sebagai meragukan.

Selepas berakhirnya kes pendakwaan, hakim berkata mereka mengambil keputusan untuk mengaku bersalah bagi pertuduhan kedua iaitu menjadi anggota kumpulan pengganas, yang bercanggah dengan pengakuan mereka. – Bernama