13 pesakit kusta terima wang zakat

13 pesakit kusta terima wang zakat

SANDAKAN, 28 Okt (Bernama) – Tiga belas pesakit kusta di daerah ini menerima wang zakat daripada Affin Islamic dan Affin Hwang Capital.

Wang zakat tersebut disampaikan Pengerusi Affin Hwang Capital Jen (B) Yaacob Mohd Zain di Pejabat Persatuan Pemulihan Kusta Malaysia di sini, hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan itu, Yaacob berkata Sabah menjadi lokasi ketiga agihan zakat untuk pesakit terpilih selepas diedarkan kepada 20 orang di Alor Setar, Kedah dan 25 orang di Kota Baharu, Kelantan.

Katanya wang zakat yang diagihkan itu dikumpulkan melalui keuntungan kumpulan Affin iaitu Affin Bank, Affin Islamic dan Affin Hwang Capital.

Beliau berkata selain daripada 50 peratus bayaran zakat untuk keperluan Angkatan Tentera Malaysia dan pesara, kumpulan wang zakat Affin khususnya Affin Hwang Capital dibelanjakan antaranya untuk mangsa banjir, rumah orang miskin, dan pesakit.