13 rumah musnah dalam kebakaran di Pulau Bum Bum

13 rumah musnah dalam kebakaran di Pulau Bum Bum

SEMPORNA, 11 Nov – Tiga belas rumah papan musnah dalam kebakaran di Kampung Ampalang di Pulau Bum Bum, pagi tadi, dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semporna, Fazizul Hizam Borhan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 7:01 pagi dan tiba ke tempat kejadian kira-kira sejam kemudian.

“Seramai lapan anggota bergegas ke tempat kejadian dan kami berjaya mengawal kebakaran pada 8:51 pagi.

“Memandangkan kebakaran berlaku di pulau, bomba terpaksa menggunakan pam angkut dan menyedut air laut, di samping terdapat empat anggota Pasukan Bomba Sukarela dan orang kampung turut membantu memadamkan kebakaran,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, setakat ini jumlah mangsa terlibat masih belum diketahui dan punca kebakaran serta jumlah kerugian sedang disiasat. – Bernama