13 saman lalu lintas dikeluarkan

13 saman lalu lintas dikeluarkan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 24 Sept – Sebanyak 13 saman telah dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan lalu lintas semasa Operasi Pencegahan Jenayah bersama ahli Pengawasan Kejiranan di beberapa kawasan sasaran di sini, malam tadi.

Antara kesalahan yang ditemui termasuklah dua kes lampu plat lesen tidak menyala, selain satu kes hon kenderaan tidak berfungsi, satu kes tayar nampak benang, satu kes cukai jalan mansuh, tiga kes lesen memandu yang mansuh, tiga kes memasang cermin gelap (tinted glass) dan dua kes lagi nombor plat lesen tidak mengikut peraturan.

Operasi yang telah bermula kira-kira pukul 10:00 malam tadi sehingga pukul 3:00 pagi itu, telah diketuai oleh Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Seria, Supt Ariffin bin Haji Jafaruddin dengan melibatkan seramai 72 orang anggota polis dan 38 ahli Pengawasan Kejiranan.

Turut serta ialah pegawai-pegawai Daerah Polis Belait, Ketua Kampung Pandan C, Haji Affandy bin Haji Awang Damit, Pengerusi Pengawasan Kejiranan RPN Kampung Panaga, Haji Hassan bin Tuah, Pemangku Ketua Kampung Sungai Liang, Haji Ibrahim bin Dato Maharaja Setia Dian, Ketua Kampung Labi 1 merangkap Penghulu Mukim Labi, Awang Hanafi bin Mohd Siput dan Ketua Kampung Labi 2, Haji Matusin bin Matzin.

Ia merupakan operasi pertama yang melibatkan ahli-ahli pengawasan kejiranan di keempat-empat Balai Polis Daerah Belait secara serentak, yang antara lain bertujuan untuk memastikan setiap pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas, sentiasa bertolak ansur ketika memandu, mencegah kes kemalangan serta mencegah segala aktiviti jenayah.

Operasi Pencegahan Jenayah yang dijalankan secara besar-besaran malam tadi di beberapa kawasan di Daerah Belait.
Operasi Pencegahan Jenayah yang dijalankan secara besar-besaran malam tadi di beberapa kawasan di Daerah Belait.

Operasi rondaan dan sekatan jalan raya telah diadakan di kawasan Jalan Maulana, berdekatan Simpang Pandan 8 melibatkan seramai 14 anggota Balai Polis Kuala Belait dan sembilan ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Pandan C, manakala itu, operasi sekatan jalan raya di kawasan F3/F4 Jalan Tengah Panaga, Seria, telah melibatkan penyertaan seramai 13 anggota Balai Polis Seria bersama 15 ahli Pengawasan Kejiranan RPN Panaga.

Pemeriksaan melalui rondaan berjalan kaki di kawasan Jalan Sumbui-Sumbui RPN Kampung Lumut dan sekatan jalan raya di kawasan lebuh raya Sungai Liang Lumut hala ke Kuala Belait pula telah melibatkan penyertaan seramai 16 anggota Balai Polis Sungai Liang, empat anggota Balai Polis Labi, lima anggota Polis Keselamatan Padang Minyak LNG Lumut, bersama lima orang ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Sungai Liang.

Sementara itu, empat anggota Balai Polis Labi bersama sembilan ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Labi 1 dan Kampung Labi 2 menjalankan operasi rondaan menggunakan kenderaan di sekitar kawasan Kampung Teraja hingga ke Bukit Puan Labi. Turut terlibat dalam operasi tersebut ialah anggota Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas Batu Tiga Belait dan anggota Skuad Tindakan Segera Ibu Pejabat Panaga.

ARTIKEL YANG SAMA