13 sertai kursus jahitan tudung

13 sertai kursus jahitan tudung

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 30 Sept – Seramai 13 orang wanita menyertai Kursus Pendek Jahitan Tudong, yang diadakan selama empat hari bermula hari ini, di Kelas Seni Rekaan Fesyen Sekolah Rendah Muhammad Alam, Seria, Kuala Belait di sini.

Kursus pendek tersebut dikendalikan oleh dua orang tenaga pengajar, Dayang Junaidah binti Junaidi dan Dayang Siti Rafidah binti Mulyadi yang juga merupakan pengasas dan penyelaras kursus jahitan yang diadakan di sekolah berkenaan, di bawah kelolaan Pendidikan Lanjutan dan Latihan Kementerian Pendidikan.

Dalam temu bual bersama Media Permata, Dayang Siti Rafidah menyatakan, kursus pendek jahitan tudung tersebut diadakan bagi mengisikan ruang kosong setelah kursus panjang seni rekaan fesyen dihentikan sementara sejak Ogos lalu.

Menurutnya, peserta-peserta yang menyertai kursus pendek ini akan diajarkan secara asas beberapa bentuk tudung seperti bawal, Instant Shawl dan Tudung Express Hajra.

Katanya, kelas diadakan selama dua jam setengah setiap Jumaat bermula pukul 2 hingga 4:30 petang, dan Ahad dari pukul 9:00 pagi hingga 11:30 pagi.

Lebih 10 orang menyertai Kurus Pendek Jahitan Tudong yang diadakan di Kelas Seni Rekaan Fesyen Sekolah Rendah Muhammad Alam, Seria.
Lebih 10 orang menyertai Kurus Pendek Jahitan Tudong yang diadakan di Kelas Seni Rekaan Fesyen Sekolah Rendah Muhammad Alam, Seria.

Kursus pendek tersebut akan diadakan sehingga 9 Oktober dengan bayaran yang dikenakan sebanyak $50 bagi peserta tempatan dan $70 bagi peserta warga asing. Latihan jahitan yang diajarkan adalah secara asas sahaja, memandangkan terdapatnya peserta yang belum mempunyai kemahiran menjahit dan ada juga yang mahu menambahkan kemahiran mereka.

Dayang Siti Rafidah, yang bekerja sebagai tukang jahit di Hospital Suri Seri Begawan Kuala Belait, merupakan tenaga pengajar sambilan di bawah Pendidikan Lanjutan dan Latihan di sekolah berkenaan dalam bahagian jahitan sejak tahun 2013 lalu, dan pada masa ini dibantu oleh seorang lagi tenaga pengajar yang sebelum ini merupakan pelajarnya, memandangkan tenaga pengajar pelapis diperlukan dalam kelas jahitan di sekolah berkenaan.

Menurutnya, kursus panjang jahitan yang telah diadakan pada Januari hingga Ogos lalu, merupakan kursus berfasa yang mengajar pesertanya cara-cara menjahit baju fesyen dan baju kurung, serta ditempatkan dalam satu kelas yang sama bagi pelajar tahun satu hingga tahun tiga, dengan keramaian hampir 100 orang.

“Kursus panjang dijangka akan dibuka semula pada tahun depan, pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian, dan untuk memenuhi ruang kosong, kami mengisikan dengan menyediakan kursus pendek dan harapan kami ialah supaya para peserta akan dapat menimba ilmu dan kemahiran dan dapat menghasilkan produk mereka sendiri,” kata beliau.

Di samping itu, beliau juga melahirkan harapan supaya kelas lanjutan jahitan akan dapat diberigakan kepada orang ramai, supaya ia akan mendapat penyertaan yang lebih baik, dan berharap kelas menjahit akan dapat diperluaskan lagi supaya kaum wanita akan dapat menggunakannya bagi meningkatkan ekonomi mereka secara sambilan atau sepenuh masa.

ARTIKEL YANG SAMA