130 pelajar baru ikuti kursus PLM

130 pelajar baru ikuti kursus PLM

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Ogos – Seramai 130 pelajar yang terpilih untuk mengikuti kursus di Institut Pendidikan Teknikal Brunei, Kampus Pusat Latihan Mekanik telah memulakan pengajian mereka di kampus berkenaan dengan mengikuti Majlis Suai Kenal Pengambilan Pertama bagi Program HNTEC & NTEC, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IPTB/IBTE), Kampus Pusat Latihan Mekanik (PLM), hari ini.

Hadir bagi merasmikan majlis suai kenal itu ialah Pengarah Jabatan Pengangkutan Darat, Dr Haji Supry bin Haji Awang Ladi.

Di antara pelajar yang berjaya itu, seramai 98 pelajar lelaki dan 32 pelajar perempuan telah mengikuti minggu suai kenal yang dihasratkan untuk mendedahkan pelajar-pelajar mengenai kursus-kursus yang diikuti serta untuk mengetengahkan mengenai peraturan dan amalan di pusat berkenaan.

Pemangku Pengetua IPTB Kampus PLM, Dr Sheikh Lukman bin Sheikh Abdul Hamid dalam kata alu-aluannya akan mengikuti perkembangan kursus yang baru diperkenalkan pada 2015 di kampus itu dan juga seluruh institusi teknikal di Institut Pendidikan Teknikal Brunei iaitu Kursus Sijil Pendidikan Tinggi Teknikal Kebangsaan (HNTEC) dan Sijil Pendidikan Teknikal Kebangsaan (NTEC).

Dr Haji Supry, Dr Sheikh Lukman (2 kiri) bersama para tetamu yang lain hadir di majlis berkenaan.
Dr Haji Supry, Dr Sheikh Lukman (2 kiri) bersama para tetamu yang lain hadir di majlis berkenaan.
Para pelajar baru IBTE Kampus Pusat Latihan Mekanik membaca Ikrar Pelajar di majlis berkenaan.
Para pelajar baru IBTE Kampus Pusat Latihan Mekanik membaca Ikrar Pelajar di majlis berkenaan.

Program kursus-kursus yang dilaksanakan di kampus itu ialah HNTEC dalam Teknologi Automotif, NTEC dalam Mekanik Kenderaan Ringan, NTEC dalam Mekanik Kenderaan Berat dan NTEC dalam Perantis Kejuruteraan Automotif.

Dr Sheikh Lukman menyatakan, kursus-kursus yang dilaksanakan itu merangkumi sebahagian daripada transformasi pendidikan teknikal yang giat dilaksanakan oleh IBTE.

“Kursus HNTEC dan NTEC lebih menjurus kepada kemahiran yang diperlukan dalam industri di negara ini, di samping bagi membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.”

Dengan peluang yang disediakan itu, diharap dapat mengurangkan jumlah pencari kerja dan pengangguran di Brunei, yang mana pengangguran itu boleh mengundang pelbagai gejala-gejala sosial yang tidak diingini seperti jenayah curi, rompak, penipuan, dadah dan sebagainya.

ARTIKEL YANG SAMA