131 maut, ratusan masih hilang dalam runtuhan lumpur

131 maut, ratusan masih hilang dalam runtuhan lumpur

SANTA CATARINA PINULA, Guatemala, 5 Okt (AFP) – Sekurang-kurangnya 131 orang terbunuh dalam runtuhan lumpur yang melanda sebuah kampung di luar Bandar Guatemala, kata pegawai semalam, tiga hari selepas bencana melanda negara Amerika Tengah.

“Malangnya, satu pengiraan baru menunjukkan terdapat 131 yang disahkan mati dan ditemui,” dan masih terdapat kira-kira 300 orang hilang, kata jurucakap Briged Bomba Julio Sanchez.

Beliau memberitahu wartawan beberapa kanak-kanak, termasuk anak damit yang baru lahir, adalah antara mereka yang terbunuh di Santa Catarina Pinula.

Pada malam Khamis, ekoran hujan lebat, tanah dan serpihan yang berisi air melanda kampung El Cambray II, di bandar Santa Catarina Pinula, memusnahkan atau merosakkan sekurang-kurangnya 125 rumah.

Saudara mangsa yang hilang tinggal di rumah mayat sementara yang didirikan bersebelahan dengan rumah tertimbus.

Saudara-mara mengusung keranda tiga mangsa kejadian tanah runtuh pada Khamis di desa El Cambray II, ke tanah perkuburan perbandaran Santa Catarina Pinula, kira-kira 15 km sebelah timur dari Guatemala City. – AFP
Saudara-mara mengusung keranda tiga mangsa kejadian tanah runtuh pada Khamis di desa El Cambray II, ke tanah perkuburan perbandaran Santa Catarina Pinula, kira-kira 15 km sebelah timur dari Guatemala City. – AFP

Pihak berkuasa perbandaran telah meminta penduduk, kira-kira 15 kilometer dari timur ibu negara Guatemala City, supaya berpindah beberapa kali, terbaru pada November tahun lalu. Namun ramai keluarga enggan berbuat demikian, berkata mereka tidak mempunyai tempat tinggal.

“Kami tidak boleh tinggal di sini lagi,” keluh Carlos Hernandez, seorang juruelektrik yang terselamat daripada runtuhan tanah itu, ketika beliau berjalan di antara anggota menyelamat dengan beberapa barang kepunyaannya digalas di bahunya.

Lewat semalam, pekerja menyelamat terpaksa menggantung kerja mereka apabila hujan terus turun, menjadikannya terlalu sukar untuk meneruskan usaha menyelamat sebelum hari ini.

Harapan terbaik untuk menyelamat mangsa dalam runtuhan tanah, runtuhan gua dan gempa bumi adalah dalam tempoh masa 72 jam selepas tragedi berlaku. Tempoh kritikal luput pada 0400 hari ini.