134 pelajar mulakan pengajian di KUPU SB

134 pelajar mulakan pengajian di KUPU SB

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Julai – Seramai 134 orang mahasiswa-mahasiswi telah dipilih untuk mengikuti pengajian di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) bagi pengambilan ke-9 sesi 2015/2016, memulakan kehidupan mereka di KUPU SB dengan mengikuti Minggu Ta’aruf yang berlangsung selama seminggu bermula hari ini.

Pembukaan rasmi Minggu Ta’aruf Pengambilan ke-9 KUPU SB yang berlangsung di Dewan Tarbiyyah kolej berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Ra’es KUPU SB, Dr Hajah Masnon binti Haji Ibrahim semasa menyampaikan ucapan berkata Minggu Ta’aruf berkenaan diisi dengan pelbagai program seperti taklimat, pemantapan rohani serta aktiviti-aktiviti bagi memperkenalkan mahasiswa dengan budaya dan persekitaran di kolej berkenaan.

Antara objektifnya adalah sebagai program suai kenal serta pendedahan kepada mahasiswa dan mahasiswi mengenai pelbagai perkara berkaitan dengan pembelajaran dan kehidupan di kolej itu.

Selain itu, ia juga menjadi medan dan peluang bagi mereka untuk mengenali pengurusan di kolej berkenaan dari peringkat tertinggi, pentadbiran, fakulti, akademik dan sebagainya dengan lebih dekat supaya memudahkan mereka untuk menyesuaikan diri dengan suasana dan persekitaran kampus KUPU SB.

Dr Hajah Masnon ketika menyampaikan ucapan alu-aluan di majlis itu.
Dr Hajah Masnon ketika menyampaikan ucapan alu-aluan di majlis itu.
Antara mereka yang dipilih mengikuti pengajian sesi 2015/2016 di KUPU SB.
Antara mereka yang dipilih mengikuti pengajian sesi 2015/2016 di KUPU SB.

Beliau seterusnya menyeru mereka yang berjaya mengikuti pengajian di kolej ini untuk sentiasa berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam menimba ilmu pengetahuan daripada pensyarah serta menjaga disiplin dan sahsiah mahasiswa dan mahasiswi supaya ilmu yang ditimba selari dengan akhlak dan keperibadian dalam ilmu perguruan agama.

Majlis pembukaan Minggu Ta’aruf itu diserikan dengan ceramah motivasi yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Ilmu Teras dengan tajuk Adab Belajar dan Mengajar dari Perspektif Islam.

Daripada jumlah pelajar baru bagi sesi kali ini, dua orang mengikuti pengajian peringkat Doktor Falsafah, tujuh peringkat Sarjana dan tiga orang daripadanya adalah pelajar luar negara iaitu dua dari Thailand dan seorang dari Indonesia.

Program yang ditawarkan untuk sesi 2015/2016 ialah Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama Syariah, Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama Usuluddin, Diploma Tertinggi Perguruan Ugama Usuluddin dan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama Syariah.

Turut ditawarkan, Ijazah Sarjana Perguruan Ugama Aqidah, Perguruan Ugama Fiqh, Perguruan Ugama Kurikulum, Perguruan Ugama Penyeliaan dan Perguruan Ugama Pengurusan dan Pentadbiran.

Manakala empat program kedoktoran yang ditawarkan ialah Doktor Falsafah Perguruan Ugama Usuluddin, Perguruan Ugama Syariah, Perguruan Ugama Pendidikan dan Doktor Falsafah Perguruan Ugama Pendidikan Bahasa Arab.

ARTIKEL YANG SAMA