137 juta pound tarik Neymar

137 juta pound tarik Neymar

LONDON, 25 Ogos (Agensi) – Bintang penyerang Brazil, Neymar terbuka untuk menyertai Manchester United dari Barcelona, namun perpindahan tersebut tidak mungkin berlaku dalam pasaran musim panas ini yang bakal ditutup pada 31 Ogos.

Selepas gagal mendapatkan Pedro, United telah melakukan tindakan berani dengan mengemukakan tawaran terhadap Neymar, namun akhbar Britain, The Guardian melaporkan, pemain berusia 23 tahun itu lebih sesuai menyertai kelab Liga Perdana Inggeris tersebut pada musim panas, tahun depan.

Neymar yang menyertai Barcelona pada 2013 memiliki baki kontrak tiga tahun di Camp Nou.

Dia adalah tonggak utama yang membantu kelab Catalan itu me­rangkul tiga kejuaraan musim lalu iaitu Liga Juara-Juara, La Liga dan Copa del Rey.

Menurut sumber rapat pemain Brazil itu, dia tertarik dengan sejarah United, malah sentiasa teruja dengan peluang untuk ber­aksi dalam Liga Perdana Inggeris, yang merupakan liga bola sepak termahal dunia.

Neymar kini dipancing oleh Manchester United dengan tawaran yang tinggi. - Reuters
Neymar kini dipancing oleh Manchester United dengan tawaran yang tinggi. – Reuters

Pengurus Barcelona, Luis Enrique enggan mengulas mengenai spekulasi yang menyelubungi masa depan penyerangnya itu, namun tidak menafikan mereka telah didatangi wakil United yang berminat mendapatkan pemain tersebut.

“Bercakap tentang Neymar dan kelab lain, langsung tidak menarik minat saya.

“Saya tidak bercakap mengenai khabar angin, saya hanya mahu fokus kepada pasukan dan apa yang berlaku sekarang,” kata Enrique dalam sidang akhbar selepas Barcelona menumpaskan Athletic Bilbao 1-0 semalam,

Minggu lalu, Naib Pengerusi Eksekutif United, Ed Woodward ber­ada di Barcelona untuk berunding mengenai Pedro, namun selepas penyerang Sepanyol itu bertindak mengejut dengan menyertai Chelsea, dia segera mengalihkan tumpuan untuk cuba mendapatkan Neymar.

Pada ketika kontrak Neymar dijadual berakhir pada 2018, dia bersedia mempertimbangkan perpindahan ke Old Trafford, namun tawaran yang perlu dikemukakan United haruslah lumayan bagi menyaingi apa yang dinikmati di Barcelona ketika ini.

Menurut The Guardian, United perlu mengeluarkan sekitar 137 juta pound jika mahu membawa masuk Neymar ke Old Trafford.

ARTIKEL YANG SAMA