14 ahli baru KOPRI tamat kursus

14 ahli baru KOPRI tamat kursus

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Mei – Seramai 14 orang ahli baru Sekolah Latihan Pengawalan Keselamatan (KOPRI) telah berjaya menamatkan Kursus Asas Pengawal Keselamatan Siri 09/2016 dan menerima sijil masing-masing pada majlis yang berlangsung di Bilik Kursus KOPRI, Pejabat KOPRI, pagi tadi.

Hadir menyempurnakan penyampaian sijil ialah Ketua Pegawai Eksekutif KOPRI, Dato Paduka Seri Haji Abdul Rahman bin Haji Besar.

Kursus yang bermula pada 16 sehingga 21 Mei lalu itu bertujuan untuk memberi pengetahuan kepada ahli baru mengenai tugas dan tanggungjawab selaku pengawal keselamatan.

Di samping itu, ia juga untuk mengetahui tindakan yang perlu dilakukan semasa menjalankan tugas serta mempelajari ilmu dan pengetahuan mengenai tugas dan tanggungjawab setelah mereka ditugaskan di pos kawalan masing-masing.

Ahli baru KOPRI bergambar ramai bersama tenaga pekerja pesara Polis Diraja Brunei dan ABDB.
Ahli baru KOPRI bergambar ramai bersama tenaga pekerja pesara Polis Diraja Brunei dan ABDB.

Semasa kursus itu, para peserta telah dibimbing oleh tenaga pekerja pesara Pasukan Polis Diraja Brunei dan pesara Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

Para peserta telah belajar tatacara membuat rondaan, membuat perhubungan, melengkapkan buku siang malam, membuat pemeriksaan pelawat-pelawat dan sebagainya.

Ahli-ahli baru yang terdiri daripada 12 orang lelaki dan dua orang wanita itu berasal dari Daerah Brunei dan Muara.

Selepas menamatkan kursus mereka, ahli-ahli baru akan ditempatkan di semua daerah mengikut penempatan mereka.

ARTIKEL YANG SAMA