14 anak damit 15 Julai dirai

14 anak damit 15 Julai dirai

Oleh Sim Y. H., Rafidah Jumat, Hajah Saemah Kepli & Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Julai – Seramai 14 orang anak damit telah lahir pada 15 Julai 2016 sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-70 Tahun di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, sembilan dilahirkan di Daerah Brunei dan Muara, empat di Daerah Belait dan seorang lagi di Daerah Temburong manakala itu, tiada anak damit dilahirkan di Daerah Tutong.

Sehubungan dengan kelahiran anak-anak damit berkenaan, Majlis Kesyukuran dan Penyampaian Cenderamata kepada Anak-anak Damit Yang Lahir Pada 15 Julai 2016 sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-70 tahun diadakan di hospital-hospital di mana anak-anak damit berkenaan dilahirkan, kelmarin.

Setiap anak damit menerima sumbangan daripada Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Sultan ke-70 Tahun, berupa wang tunai $100 yang dimasukkan ke Akaun Simpanan Simanja, barang-barang keperluan anak damit, sijil penghargaan dan potret kenangan, di samping itu, sumbangan daripada Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) berupa Akaun Simanja dengan nilai $150.

Sumbangan wang tunai itu diberikan dengan hasrat untuk memupuk budaya menabung sedari kecil serta menyahut seruan kerajaan Baginda Sultan untuk mengamalkan sikap jimat cermat supaya mendatangkan faedah pada masa hadapan.

Datin Paduka Hajah Jahrah menyampaikan cenderamata kepada anak-anak damit yang diraikan pada majlis berkenaan.
Datin Paduka Hajah Jahrah menyampaikan cenderamata kepada anak-anak damit yang diraikan pada majlis berkenaan.
Anak-anak damit bersama ibu bapa mereka yang diraikan pada majlis berkenaan di Hospital RIPAS.
Anak-anak damit bersama ibu bapa mereka yang diraikan pada majlis berkenaan di Hospital RIPAS.

Bagi Daerah Brunei dan Muara, majlis diadakan di Bilik Seminar, Tingkat 2, Blok Wanita dan Kanak-kanak, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan hadir menyempurnakan penyampaian cenderamata daripada jawatankuasa kebangsaan sambutan perayaan ialah isteri Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datin Paduka Hajah Jahrah binti Haji Mohamad.

Manakala itu, isteri Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Hajah Khalsom binti Haji Suhaili selaku Isteri Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB telah menyampaikan sumbangan daripada Perbadanan TAIB.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Maslina binti Haji Mohsin, isteri Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, isteri Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei dan jemputan khas.

Bagi Daerah Brunei dan Muara, anak-anak damit yang dilahirkan terdiri daripada dua orang anak damit lelaki dan tujuh orang anak damit perempuan dengan anak pertama lahir pada pukul 7:45 pagi iaitu seorang anak damit lelaki kepada pasangan Awang Mohd Hairul Hilmi bin Haji Abdul Kadir dan Dayang Rosleaynah binti Abit.

Manakala itu, anak damit terakhir yang lahir pada 15 Julai 2016 adalah pada pukul 9:16 malam iaitu anak damit perempuan kepada pasangan Awang Nordin bin Haji Sawal dan Dayang Noridah binti Ahmad.

Dayang Suraya (duduk tengah) bersama ibu bapa anak-anak damit yang dilahirkan pada 15 Julai 2016.
Dayang Suraya (duduk tengah) bersama ibu bapa anak-anak damit yang dilahirkan pada 15 Julai 2016.

Sementara itu, bagi Daerah Belait pula, dua anak damit lelaki dan dua anak damit perempuan telah dilahirkan di Hospital Suri Seri Begawan (HSSB), Kuala Belait di mana anak damit pertama yang lahir pada pukul 6:17 pagi merupakan anak ketiga kepada pasangan Dayang Maidah binti Haji Arsad @ Arshad dan Haji Mohammad Zamri bin Haji Abdullah.

Majlis Kesyukuran dan Penyampaian Cenderamata kepada Anak-anak Damit bagi anak-anak damit berkenaan telah diadakan di Blok R, hospital itu dengan dihadiri oleh isteri Pegawai Daerah Belait, Dayang Suraya binti Haji Mohd Salleh selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian cenderamata.

Sumbangan daripada Perbadanan TAIB pula telah disampaikan oleh Pegawai Eksekutif Kanan, Bahagian Pemasaran, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Hajah Zazarina binti Haji Zainuddin.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah isteri Yang Berhormat Haji Mohd. Yusof bin Haji Dulamin, Ketua Pegawai Eksekutif HSSB Kuala Belait, isteri penghulu-penghulu mukim dan isteri ketua-ketua kampung Daerah Belait, para pegawai dan kakitangan kementerian, Jabatan Daerah Belait dan HSSB, Perbadanan TAIB dan para jemputan.

Dayang Masniah bersama pasangan Junhemizan dan Noonie semasa penyampaian cenderamata Hospital PIHM, Temburong.
Dayang Masniah bersama pasangan Junhemizan dan Noonie semasa penyampaian cenderamata Hospital PIHM, Temburong.

Sementara itu, bagi Daerah Temburong iaitu Hospital Pengiran Isteri Hajah Mariam (PIHM) telah mencatatkan kelahiran seorang anak damit lelaki pada pukul 4:59 pagi.

Anak damit keempat kepada pasangan Junhemizan bin Juna dan Noonie Navilla anak Ejau berkenaan telah diraikan dalam majlis yang diadakan di hospital berkenaan dan hadir selaku tetamu kehormat majlis seterusnya menyempurnakan penyampaian cenderamata ialah isteri Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Dayang Masniah binti Haji Abu Bakar.

Sumbangan daripada Perbadanan TAIB pula disampaikan oleh Eksekutif Kanan TAIB, Dayang Ani Sakinah binti Haji Mohd Saip.

ARTIKEL YANG SAMA