14 cedera kereta api tergelincir

14 cedera kereta api tergelincir

SAN FRANCISCO, 8 Mac (AFP) – Sebuah kereta api komuter tergelincir di luar bandar utara California kelmarin, mencederakan 14 orang, menurut pihak berkuasa.

Jabatan Bomba Mukim Alameda mengatakan empat orang mengalami cedera parah namun tidak mengancam nyawa sementara 10 cedera ringan apabila kereta api tergelincir di Sunol, dengan salah satu daripada gerabaknya bergolek ke anak sungai.

Menurutnya, semua penumpang dipindahkan daripada kereta api itu, yang CBS San Francisco laporkan sedang dalam perjalanan dari San Jose ke Stockton menerusi Fremont dan membawa 214 penumpang di dalamnya.

Gambar-gambar dari tempat kejadian yang disiarkan dalam Twitter oleh Jabatan Bomba Mukim Alameda menunjukkan salah sebuah gerabak kereta api itu terdampar ke tepi dan sebahagiannya ditenggelami air.

CBS San Francisco memetik para pegawai operasi kereta api, yang melaporkan bahawa insiden itu adalah berpunca daripada kereta api tergelincir yang disebabkan oleh sebatang pokok di landasan.