14 dipercayai warga Indonesia mati lemas

14 dipercayai warga Indonesia mati lemas

PELABUHAN KLANG, 3 Sept (Bernama) – Sebanyak 14 orang dipercayai warga Indonesia setakat ini ditemukan mati lemas manakala 15 lagi terselamat selepas sebuah bot membawa kira-kira 70 penumpang karam di perairan Selangor Khamis pagi.

Laksamana Pertama Maritim Daerah Klang, Mohd Aliyas Hamdan berkata bot sepanjang 40 kaki itu karam ketika dalam perjalanan dari Kuala Sungai Bernam menuju ke Tanjong Balai, Indonesia.

Insiden berlaku pada kedudukan sembilan batu nautika di barat daya Tanjong Sauh.

“Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerima maklumat daripada nelayan tempatan pada 10.37 pagi yang telah menjumpai 14 mayat iaitu 13 wanita dan seorang lelaki, serta menyelamatkan 15 yang lain terdiri daripada 14 lelaki dan seorang wanita,” katanya.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat APMM Daerah Klang di sini, beliau berkata kejadian mungkin berpunca daripada bot terlebih muatan atau cuaca.

Pasukan keselamatan membawa mayat mangsa bot karam di Ladang Sungai Bernam hari ini. Sebuah bot pom-pom yang membawa kira-kira 70 penumpang yang majoritinya warga Indonesia, karam di perairan Hutan Melintang, Perak. – Bernama
Pasukan keselamatan membawa mayat mangsa bot karam di Ladang Sungai Bernam hari ini. Sebuah bot pom-pom yang membawa kira-kira 70 penumpang yang majoritinya warga Indonesia, karam di perairan Hutan Melintang, Perak. – Bernama

“Pihak kami masih menjalankan siasatan mengenai punca sebenar kejadian ini,” katanya sambil memberitahu setakat ini empat aset milik APMM merangkumi dua kapal dan dua bot berada di lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat.

Menurut Mohd Aliyas, majoriti penumpang bot berkenaan dipercayai warga Indonesia yang ingin pulang ke kampung halaman bagi menyambut Aidiladha dua minggu lagi.

“Kita akan temu ramah mangsa terselamat untuk ketahui sama ada terdapat penumpang bot dari negara lain,” katanya sambil menambah ada dalam kalangan penumpang dipercayai tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Waktu sebenar bot itu berlepas dari Kuala Sungai Bernam juga masihdisiasat dan bot berkenaan sehingga kini masih belum ditemui,” katanya.