14 graduan ikuti Program Perkampungan Sivik

14 graduan ikuti Program Perkampungan Sivik

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Sept – Golongan belia selaku aset negara yang terpenting dan pewaris masa depan negara diseru untuk tidak berhenti menuntut ilmu kerana ilmu itu bukannya sesuatu yang statik tetapi bangsa yang berilmu akan terkemuka dalam pembangunan, ekonomi serta persaingan dalam apa jua bidang.

Oleh itu, peserta-peserta Program Perkampungan Sivik merupakan belia yang dilihat mempunyai pemikiran dan sikap yang ingin terus maju dan progresif serta mempunyai potensi untuk berdaya saing bagi menguasai kemajuan, kemenangan dan keunggulan.

Ini dinyatakan oleh Pemangku Pengarah Penerangan, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, Awang Mawardi bin Haji Mohammad ketika berucap semasa Program Perkampungan Sivik Lepasan Ijazah yang berlangsung di Dewan Auditorium, Bangunan Tambahan Ibu Pejabat Penerangan, hari ini.

Beliau berkata bahawa pelaksanaan Program Perkampungan Sivik itu merupakan sebagai langkah bagi mewujudkan kalangan para peserta belia yang bermaklumat dan berilmu.

“Lebih-lebih lagi di kalangan para peserta inilah yang akan mewakili golongan belia yang sering dilabelkan sebagai aset yang amat berharga bagi sesebuah negara.”

Awang Mawardi bergambar-ramai dengan para peserta Program Perkampungan Sivik.
Awang Mawardi bergambar-ramai dengan para peserta Program Perkampungan Sivik.

Beliau juga menyeru mereka untuk sama-sama berusaha menuju ke arah merealisasikan Wawasan 2035, iaitu sebagai rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, memiliki kehidupan yang berkualiti tinggi dan ekonomi yang dinamik serta berdaya tahan.

Program Perkampungan Sivik Lepasan Ijazah 2016 membawa satu pembaharuan yang mana sebelum ini, ia hanya melibatkan mahasiswa-mahasiswi yang menuntut di institusi pengajian tinggi di seberang laut tetapi bagi tahun ini, buat kali pertamanya, dibukakan penyertaan kepada semua lepasan ijazah dari institusi-institusi pengajian tinggi tempatan dan juga di sebarang laut, terutama yang masih menunggu pekerjaan dan yang belum pernah mengikuti program berkenaan serta yang berminat untuk membina usaha dan berdikari sendiri.

Program selama enam hari lima malam itu disertai oleh seramai 14 orang peserta yang terdiri daripada lepasan ijazah dari dalam dan luar negara iaitu Universiti Brunei Darussalam, United Kingdom, Australia, Malaysia dan Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (KIGS), Negara Brunei Darussalam.

Ia mengetengahkan sesi taklimat dan dialog yang meliputi pelbagai aspek termasuk keagamaan, kenegaraan, kemasyarakatan, keselamatan, kebudayaan dan keusahawanan oleh penceramah-penceramah daripada pelbagai institusi kerajaan dan swasta.

Selain sesi taklimat dan dialog bersama agensi-agensi kerajaan dan swasta, para peserta berpeluang membuat lawatan ke beberapa buah tempat terpilih termasuk Taman Herba Kampung Putat, Syarikat RIZA Group, Pihak Berkuasa Bagi Industri Info-Komunikasi Dan Teknologi (AITI), iCentre dan Jabatan Adat Istiadat.

Program itu dihasratkan untuk memberi kefahaman dan maklumat terkini mengenai hal ehwal negara dan kerajaan, memupuk dan menanam semangat kenegaraan yang berteraskan falsafah negara Melayu Islam Beraja.

Di samping itu, ia juga memberikan ruang kepada para peserta untuk berbincang dan memahami keperluan semasa bagi kemajuan bangsa dan negara dalam pelbagai bidang serta membantu mereka meneroka peluang-peluang keusahawanan yang patut bagi mengurangkan kebergantungan memilih pekerjaan di pihak kerajaan.

ARTIKEL YANG SAMA