14 graduan UTB sertai AFW dirai

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jan – Seramai 14 orang graduan Universiti Teknologi Brunei (UTB) yang diterima untuk menyertai pasukan Amec Foster Wheeler (AFW) Sdn Bhd telah diraikan pada Majlis Minum Petang anjuran AFW di The Empire Hotel & Country Club, hari ini.

Hadir di majlis itu ialah Naib Canselor UTB, Profesor Dr. Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman serta Pengarah Projek AFW, Donald MacLeod serta Naib Presiden Kanan Sumber-sumber Manusia, Minyak, Gas dan Kimia AFW, Lesley Birse.

Pada majlis itu, Donald MacLeod menyampaikan ucapan penghargaan dan tahniah kepada graduan-graduan UTB yang terpilih dan berjaya untuk memasuki pasukan AFW.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, selaras dengan kerjasama bersama UTB, AFW baru-baru ini telah membuat penilaian selama tiga hari, dari 13 hingga 15 November lalu, bagi membolehkan syarikat itu mengenal pasti dan melihat sendiri bakat-bakat dan kemahiran yang ditawarkan para peserta yang menyertai penilaian tersebut dalam bidang kejuruteraan, pembinaan dan projek yang mana para peserta yang berjaya diberikan peluang pekerjaan di Syarikat AFW.

Profesor Dr. Hajah Zohrah dan Lesley Birse ketika bergambar ramai bersama 14 orang graduan daripada UTB yang berjaya terpilih bagi menyertai Syarikat AFW.

Bagi penilaian tersebut, lebih 130 permohonan telah diterima bagaimanapun hanya 42 calon disenaraikan bagi menyertai penilaian itu.

Melalui proses penilaian berkenaan, calon-calon telah melalui beberapa siri latihan yang memberikan peluang kepada mereka untuk mempamerkan kemahiran masing-masing.

Setelah tamat proses penilaian, calon-calon yang berjaya diberikan peluang pekerjaan mengikut kemahiran bidang masing-masing.

SAHAM
Terdahulu6 mangsa keracunan?
SeterusnyaNasib hidup bersendirian