14 hadiri bengkel perbaiki pembacaan Al-Quran

14 hadiri bengkel perbaiki pembacaan Al-Quran

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 9 Jun – Seramai 14 kakitangan kerajaan daripada pelbagai jabatan di Daerah Belait serta jemaah masjid telah menghadiri Bengkel Tahsin Al-Qur’an yang diadakan di Dewan Serba Guna Masjid Muhammad Jamalul Alam (MMJA), Kuala Belait, hari ini.

Bengkel sehari ini dikendalikan oleh Jawatankuasa Takmir MMJA dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Belait.

Penyelaras bengkel tersebut, Haji Mohd Daud bin Haji Abdul Kadir, ketika ditemui, mengatakan, tahsin daripada perkataan Arab bermaksud untuk memperbaiki, meningkatkan atau memperkaya dan antara tujuan bengkel ini adalah untuk memperbaiki mana-mana kelemahan dari segi pembacaan dan penghayatan Al-Quran.

Sementara itu, Imam MMJA, Haji Mohd Alias bin Bakar, menambah bengkel ini juga dianjurkan untuk menyahut hasrat dan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang mengehendaki penduduk serta rakyatnya celik Al-Quran, di samping dapat membudayakan pembacaan, mempertingkatkan mutu bacaan, kefahaman dan penghayatan dalam pembacaan Al-Quran dalam kehidupan seharian.

Antara kakitangan kerajaan yang menghadiri Bengkel Tahsin Al-Quran, kelmarin.
Antara kakitangan kerajaan yang menghadiri Bengkel Tahsin Al-Quran, kelmarin.

Haji Mohd Alias turut menyebutkan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia, bahawa jika seseorang itu mengamalkan pembacaan Al-Quran setiap hari dan memperbaiki penghayatannya setiap kali membaca maka ia akan memudahkan lagi seseorang itu untuk menjadikannya sebagai satu tabiat yang baik.

Tambahnya lagi, aktiviti keagamaan seperti ini akan dilanjutkan di sepanjang tahun dan pelbagai bengkel serta kursus akan diadakan lagi nanti yang terbuka bagi penyertaan kakitangan kerajaan serta orang ramai.

ARTIKEL YANG SAMA