14 maut dalam dua nahas kereta api di India

14 maut dalam dua nahas kereta api di India

PATNA, India, 8 Dis – Dua kemalangan membabitkan kereta api di timur dan utara India meragut sekurang-kurangnya 14 jiwa, menurut polis dan para pegawai kereta api hari ini.

Sebuah kereta api yang dipandu laju merempuh sebuah kenderaan SUV di sebuah pusat penyeberangan di timur India mengorbankan semua 13 orang di dalam kenderaan tersebut, kata pegawai kanan polis S.N. Pradhan hari ini.

Kenderaan SUV tersebut sedang menyeberangi landasan di negeri Jharkhand apabila ia rempoh sebuah kereta api penumpang lewat malam kelmarin, kata Pradhan.

Mangsa yang terbunuh termasuk lima orang kanak-kanak.

Pradhan berkata polis sedang menyiasat dakwaan oleh beberapa orang saksi bahawa tayar kenderaan SUV terbabit tersekat pada landasan dan penumpang gagal segera keluar dari kenderaan itu.

Dalam kemalangan kereta api berasingan berhampiran ibu negara India, dua kereta api berlanggar, mengorbankan pemandu salah sebuah kereta api.

Jurucakap syarikat kereta api, Neeraj Sharma, berkata sekurang-kurangnya 50 orang mengalami kecederaan dalam nahas itu yang berlaku 60 kilometer di selatan New Delhi.

Kadar penglihatan yang berkurangan berpunca pencemaran mungkin menjadi penyumbang kepada kemalangan berkenaan, kata Sharma. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA