14 maut nahas bas

14 maut nahas bas

TOKYO, 15 Jan (AFP) – Seramai 14 orang terbunuh dan berpuluh lagi cedera apabila sebuah bas yang membawa mereka ke pusat peranginan ski tergelincir dari sebatang jalan pergunungan di tengah Jepun awal hari ini, dalam kemalangan yang paling buruk di negara itu sejak 25 tahun lalu.

Pemain ski muda – kebanyakannya dalam usia remaja atau awal 20-an – tertidur dalam bas apabila ia menyenget dan tergelincir ke luar jalan sebelum subuh di bandar peranginan Karuizawa.

“Saya mendengar orang menjerit ‘Oh tidak, oh tidak’ dan kemudian ia melanggar pengadang jalan,” seorang pelajar kolej berusia 22 tahun memberitahu penyiaran NHK. “Mangsa cedera terdampar di mana-mana. Saya terpaksa tutup mata saya.”

Seorang mangsa, 19, yang terselamat dan tidak sedarkan diri semasa kemalangan itu memberitahu penyiaran: “Bas itu simpang siur ke kanan dan kiri pada kelajuan tinggi, kemudian ia dalam keadaan terbalik.”

Katanya perkara seterusnya dia sedar adalah melihat ramai yang maut selepas nahas itu.

Bas yang terbabas ke tepi jalan di wilayah Nagano pada 15 Januari telah mengorbankan 14 orang. – AFP
Bas yang terbabas ke tepi jalan di wilayah Nagano pada 15 Januari telah mengorbankan 14 orang. – AFP

“Seseorang telah menyedarkan saya dan saya menyaksikan beberapa orang dibawa menggunakan usungan. Saya rasa amat sedih dan masih tidak dapat membayangkan ia benar-benar berlaku.”

Rakaman televisyen menunjukkan bas terbabas ke hutan dengan cermin hadapan berkecai selepas ia melanggar pengadang.

Tidak ada salji mahupun ais di jalan apabila kemalangan itu berlaku dan perhatian ditumpukan ke atas pemandu bas semalaman itu, yang membuat perjalanan dari Tokyo menuju ke padang ski tengah Jepun.

Jepun beberapa tahun kebelakangan telah menyaksikan beberapa kemalangan bas berprofil tinggi, yang sesetengahnya disalahkan ke atas pemandu yang tertidur semasa memandu.

Ketua Setiausaha Kabinet Yoshihide Suga memberitahu sidang berita di Tokyo bahawa 14 orang terkorban, 27 yang lain cedera dalam kemalangan yang tidak melibatkan kenderaan lain.

Polis memberitahu AFP yang terkorban termasuk pemandu berusia 65 tahun dan pemandu ganti, yang berusia 57 tahun.

Akhbar Yomiuri Shimbun mengatakan lelaki tua itu mengendalikan kenderaan tersebut pada waktu kemalangan.

Yomiuri mengatakan ia adalah kemalangan bas yang pertama sejak 1990 yang mana 10 orang terbunuh.

Menurut media itu, para penumpang berusia dari 18 hingga 32 tahun, dan kebanyakannya para pelajar universiti.

Agensi perjalanan yang mengaturkan jelajah itu mengatakan bas itu bukan dalam laluan asal yang dijadualkan.

Suga, jurucakap tertinggi kerajaan, mengatakan kementerian pengangkutan telah melancarkan siasatan ke atas kemalangan itu, menghantar inspektor ke tapak berkenaan, sementara polis merancang secara berasingan untuk menyerbu operator bas dan agensi perjalanan Tokyo yang menganjurkan pakej pelancongan itu.