14 negara hadiri Persidangan Multi-GNSS

14 negara hadiri Persidangan Multi-GNSS

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Dis – Lebih 100 orang peserta dari 14 buah negara berhimpun di ibu negara, hari ini, bagi menghadiri Persidangan Multi-GNSS (MGA) ke-7, yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.

Persidangan yang berlangsung mulai hari ini hingga 9 Disember itu membincangkan mengenai manfaat Sistem Navigasi Satelit Sejagat (GNSS), syarikat-syarikat yang mengeluarkannya, teknologi GNSS terkini serta kegunaannya kepada bidang pertanian, cari gali minyak dan melancarkan sistem lalu lintas sesebuah negara yang menggunakannya.

Antara yang hadir sebagai peserta pada ceramah hari pertama, hari ini ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong.

Upacara perasmian persidangan itu akan diadakan esok dan hadir selaku tetamu kehormat untuk merasmikannya ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Rainer Horn ketika bercakap dengan pemberita mengenai persidangan tiga hari itu.
Rainer Horn ketika bercakap dengan pemberita mengenai persidangan tiga hari itu.

Salah seorang penganjur persidangan, Rainer Horn dari Space-Tec Partners, Munich, Jerman semasa ditemu bual mengenai persidangan itu berkata, ia secara umumnya adalah untuk berkongsi cara penggunaan pelbagai sistem navigasi penentududukan sejagat seperti Galileo dan GPS.

Beliau yang juga menjadi Koordinator GNSS.Asia berkata, persidangan global seperti itu diadakan setiap tahun dan persidangan kali ke-7 itu diputuskan untuk diadakan di Negara Brunei Darussalam.

Menurutnya, penganjuran persidangan GNSS di negara ini menguntungkan tuan rumah kerana ia mengumpulkan komuniti GNSS yang pakar dalam bidang masing-masing, industri pengeluar peranti, para akademik, serta syarikat kecil dan sederhana seperti syarikat tempatan, BruGPS Technologies Sdn Bhd dan Soartech Systems Sdn Bhd.

ARTIKEL YANG SAMA