14 pegawai polis tamat kursus

14 pegawai polis tamat kursus

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Sept – Seramai 14 pegawai dari pelbagai jabatan dan unit Pasukan Polis Diraja Brunei telah berjaya menamatkan Kursus Perundingan Tebusan dan Krisis dan menerima sijil masing-masing di majlis penutup yang berlangsung di Kompleks Padang Tembak, Pasukan Polis Diraja Brunei, kelmarin.

Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Gerakan, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Haji Mohd Don bin Haji Harith selaku tetamu kehormat.

Menurut kenyataan Pasukan Polis Diraja Brunei, kursus intensif selama lima hari bermula 14 hingga 19 September itu bertujuan untuk melatih dan mempersiapkan para peserta dengan teknik perundingan krisis, mengajar kemahiran yang diperlukan untuk menangani situasi-situasi melibatkan krisis orang ramai seperti pertikaian domestik, cubaan bunuh diri dan tebusan.

Gambar para pegawai polis yang telah menamatkan kursus.
Gambar para pegawai polis yang telah menamatkan kursus.

Dua tenaga pengajar telah didatangkan dari United Kingdom untuk mengendalikan kursus berkenaan iaitu Superintenden Detektif Sean Memory dari Wiltshire Police dan Inspektor Tom Thornton dari Polis Metropolitan yang mempunyai pengalaman luas mengenai perundingan dalam situasi-situasi sukar dan berisiko tinggi.

Kursus berkenaan melibatkan latihan-latihan praktikal yang berasaskan situasi-situasi sebenar, direka bagi mencabar para peserta mengaplikasikan kemahiran dan teknik yang diajar sepanjang kursus di bawah tekanan namun dalam persekitaran yang terkawal. Para peserta berkenaan terdiri daripada mereka yang telah menjalani latihan asas bagi Kursus Perundingan Tebusan dan Krisis pada 2013.