14 pelajar JIS terima sijil

14 pelajar JIS terima sijil

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Julai – Peluang untuk mengenali tradisi masyarakat Jepun tidak disia-siakan oleh 14 orang pelajar dari Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) di mana bukan sahaja mereka mempelajari mengenai keunikan Bahasa Jepun tetapi mereka juga mengenali keunikan budaya masyarakat Jepun dalam Program Pengalaman Jepun selama seminggu.

Sehubungan itu, para pelajar berkenaan telah diraikan dan menerima sijil tamat penyertaan program unik dari JIS yang disampaikan oleh Duta Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Noriko Iki dalam majlis penyampaian sijil yang berlangsung di JIS, Jerudong, kelmarin.

Semasa majlis itu, kumpulan pelajar yang menyertai program yang dikendalikan oleh guru-guru JIS yang pernah menetap dan mengajar di Jepun dengan kerjasama pegawai dari Kedutaan Jepun, mempamerkan tayangan gambar-gambar kegiatan yang dikendalikan oleh mereka sepanjang program itu kepada Noriko Iki dan Pengetua JIS, Barnaby Sandow.

Pada majlis itu juga, kumpulan pelajar bersama guru-guru mereka turut mempersembahkan nyanyian lagu rakyat Jepun kepada para jemputan.

Menurut Ketua Program Pengalaman Jepun, Andy McCulloch, inspirasi bagi mengadakan program pendidikan kebudayaan itu lahir daripada penyertaan dalam program pertukaran dan pengajaran Jepun kira-kira 15 tahun lalu di mana beliau mempunyai pengalaman serta kenangan yang indah mengajar dan mengalami sendiri kehidupan, bahasa dan budaya masyarakat Jepun.

Noriko Iki bergambar ramai dengan para pelajar Program Pengalaman Jepun dan guru-guru JIS serta pegawai-pegawai dari Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam.
Noriko Iki bergambar ramai dengan para pelajar Program Pengalaman Jepun dan guru-guru JIS serta pegawai-pegawai dari Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam.

Sementara itu, Barnaby Sandow dalam ucapannya menyatakan bahawa Program Pengalaman Jepun itu merupakan salah satu program yang memberikan peluang kepada para pelajar sekolah berkenaan untuk meneroka dan memahami dengan lebih dekat lagi komuniti global yang luas serta menanamkan nilai-nilai utama sekolah dalam diri mereka iaitu integrasi, penyertaan dan penglibatan aktif dalam kegiatan sekolah.

Manakala itu, Noriko Iki dalam ucapan balasnya menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program yang unik itu dan amat berbesar hati kerana mereka telah memilih budaya Jepun sebagai tema bagi program berkenaan.

Beliau percaya penyertaan para pelajar dalam program itu, dapat mendalamkan lagi ilmu pengetahuan mereka mengenai Jepun dan keunikan budaya masyarakat Jepun.

Majlis diakhiri dengan persembahan tejime yang disampaikan oleh Noriko Iki bersama-sama para pelajar yang mana ia adalah suatu budaya menepuk tangan berirama Jepun yang dipersembahkan dalam acara-acara istimewa sebagai simbol kehidupan aman dan harmoni.

ARTIKEL YANG SAMA