14 penuntut Pusat Latihan Mekanik tamat kursus OBBD

14 penuntut Pusat Latihan Mekanik tamat kursus OBBD

TEMBURONG – Seramai 14 orang penuntut Pusat Latihan Mekanik yang mengikuti Kursus Pemandu Jentera Berat Pengambilan ke-6 di Pusat Pembangunan Belia (PPB), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, baru-baru ini, telah berjaya menamatkan kursus di Pusat Outward Bound Brunei Darussalam (OBBD) di mana ia berlangsung selama enam hari.

Penyampaian sijil kepada para peserta di akhir kursus telah disempurnakan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat I, Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly, selaku ketua OBBD.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini, kursus ini merupakan salah satu aktiviti yang telah dimuatkan dalam Program Kursus Pemandu Jentera Berat sebelum mereka memulakan pembelajaran di PPB.

Selain daripada itu, ia juga dihasratkan untuk meneroka serta meningkatkan kualiti kepimpinan, semangat kerja berpasukan, setia kawan, kepercayaan diri, disiplin yang tinggi, dengan akhlak dan keluhuran budi yang terpuji dan mengetahui peranan serta tanggungjawabnya sebagai seorang rakyat yang berwibawa lagi progresif semata-mata untuk menuju ke arah membela dan membangun agama, raja, bangsa dan negara.

Ketua bergambar ramai bersama para peserta dari Pusat Latihan Mekanik.
Ketua bergambar ramai bersama para peserta dari Pusat Latihan Mekanik.

Salah seorang ketua kumpulan peserta berkata, selama menjalani kursus, para peserta telah dilatih untuk menerokai kelebihan diri sendiri melalui aktiviti-aktiviti yang disediakan dan hasilnya mereka terlihat menjadi lebih mendiri (berdikari) dan dapat mengenal diri masing-masing dengan lebih dekat lagi, terutama dalam menerokai kelemahan/kekurangan serta kelebihan diri masing-masing untuk dijadikan panduan asas ke arah menjalani hidup yang lebih sempurna pada masa hadapan.

Menurutnya lagi, pengalaman sepanjang menyertai kursus itu merupakan satu pengalaman yang menakjubkan dan tidak akan dilupakan kerana walaupun ia banyak menguji ketahanan fizikal dan mental tetapi pengajaran yang diperolehi melalui aktiviti-aktiviti yang disediakan adalah sangat berguna untuk bekalan hidup pada masa hadapan.

“Semua rancangan kursus kami berjalan dengan baik dan lancar sesuai dengan apa yang telah dirancangkan dalam menjayakan kursus ini tanpa mengabaikan aspek keselamatan para peserta,” tambahnya.

Antara aktiviti-aktiviti yang dimuatkan dalam program-program kursus di Pusat OBBD, termasuk kayak, abseiling, flying fox, solo night, pembangunan pasukan, rock climbing, jungle trekking dan sebagainya.

ARTIKEL YANG SAMA