14 sertai bengkel pembangunan profesional

14 sertai bengkel pembangunan profesional

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Okt – Pusat untuk Pengajaran dan Pembelajaran Inovatif (CiTL), Politeknik Brunei, hari ini, telah mengadakan bengkel pembangunan profesional untuk pensyarah yang berlangsung di Bilik Latihan CiTL, Politeknik Brunei, Ong Sum Ping, di sini.

Seramai 14 orang pensyarah dari jabatan-jabatan dan sekolah berkaitan Politeknik Brunei dipilih untuk mengambil bahagian dalam bengkel berkenaan.

Menurut satu kenyataan di sini, bengkel ‘Program Melatih Pelatih yang Efektif (ETTT): Bengkel Kemahiran Temu Duga’, dikendalikan oleh Ketua Akademia Kecekapan Tenaga (ECA) di Brunei Shell Petroleum Company Sdn Bhd (BSP), Haji Lani bin Abdul Samad.

Ketua CiTL, Dr. Malai Zeiti binti Sheikh Abdul Hamid semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya telah melahirkan perasaan berbesar hati Politeknik Brunei kerana sekali lagi menerima pemudah cara dari BSP untuk membantu para pensyarah mereka dengan berkongsi pengalaman sebenar yang boleh digunakan oleh pensyarah untuk membantu pelajar selepas mereka tamat pengajian.

Haji Lani ketika menyampaikan bengkel Program Melatih Pelatih yang Efektif (ETTT): Bengkel Kemahiran Temu Duga.
Haji Lani ketika menyampaikan bengkel Program Melatih Pelatih yang Efektif (ETTT): Bengkel Kemahiran Temu Duga.
Antara para pensyarah yang menyertai sesi bengkel pembangunan profesional berkenaan.
Antara para pensyarah yang menyertai sesi bengkel pembangunan profesional berkenaan.

Beliau menambah, pusat itu akan terus menganjur sesi latihan pada masa depan dan mengekalkan hubungan dan perkongsian erat dengan industri-industri tempatan menerusi jemputan formal sebagai pemudah cara dan penyampai bengkel.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Politeknik Brunei, Denis Ho Mun Tai, dalam ucapannya pula menekankan bahawa sesi bengkel itu memberikan maklumat penting mengenai etika yang betul dan kemahiran temu duga berjaya dilihat daripada perspektif industri tempatan dan sektor swasta.

Menurutnya lagi, pengetahuan, pengalaman dan maklumat yang diperoleh daripada bengkel itu boleh digunakan untuk membantu pensyarah berlatih bersama pelajar mengenai cara-cara mempertingkatkan kemahiran temu duga mereka selepas tamat persekolahan mereka.

ARTIKEL YANG SAMA