14 warga asing ditahan, dadah AS$7.5 juta dirampas

14 warga asing ditahan, dadah AS$7.5 juta dirampas

COLOMBO, 3 April (AFP) – Sri Lanka telah menahan 14 warga asing selepas merampas 110kg heroin bernilai AS$7.5 juta dari sebuah kapal pukat tunda nelayan Iran dalam tangkapan dadah terbesar selama hampir tiga tahun, menurut polis hari ini.

Seramai 10 warga Iran, dua Pakistan, seorang India dan seorang warga Singapura ditahan reman selepas dibicarakan di mahkamah majistret di Colombo pada Sabtu, kata jurucakap polis negara, Ruwan Gunasekera.

“Mereka juga mempercayai rakyat Sri Lanka terlibat dalam penyeludupan ini,” kata Gunasekera.

“Kami berharap akan dapat menangkap mereka (warga Sri Lanka berkenaan) secepat mungkin.”

Bertindak atas maklumat, polis dan tentera laut menaiki kapal pukat tunda di luar pantai selatan pada Rabu.

Mereka menangkap kru – 10 rakyat Iran dan seorang rakyat Pakistan – selepas menemui 110kg heroin yang pihak berkuasa anggarkan bernilai 1.1 bilion rupee (AS$7.5 juta).

“Seorang warga Singapura dan India juga ditangkap berikutan kejar-mengejar kereta pada Sabtu,” ujarnya menambah bahawa warga Pakistan lain telah ditahan di sebuah rumah di Sri Lanka yang dipercayai digunakan sebagai pangkalan bagi penyeludupan dadah.

Rampasan itu adalah yang terbesar sejak Ogos 2013 apabila polis menemui 260kg heroin yang disembunyikan dalam kontena perkapalan yang datangnya dari Pakistan.

ARTIKEL YANG SAMA