14,000 peluang kerja ditawarkan di Sabah tahun ini

14,000 peluang kerja ditawarkan di Sabah tahun ini

KOTA KINABALU, 10 Feb – Jabatan Tenaga Kerja Persekutuan (JTK) mahu menyediakan sehingga 14,000 peluang pekerjaan dalam sektor swasta untuk rakyat Sabah yang menggangur tahun ini.

Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah Datuk Siringan Gubat berkata perkara itu dinyatakan Pengarah JTK Negeri Kamal Pardi semasa mengunjunginya baru-baru ini.

Berdasarkan penganggur berdaftar JTK, kadar pengangguran di Sabah kini ialah 4.7 peratus berbanding Sarawak (3.8 peratus) dan Semenanjung (2.1 peratus).

“Jabatan itu sedang berusaha untuk menawarkan (peluang pekerjaan) sedia ada semasa Karnival Kerjaya di beberapa wilayah di Sabah pada 1 Mei,” katanya dalam kenyataan di sini, kelmarin.

Karnival itu akan diadakan di Kota Kinabalu, Keningau, Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Sandakan.

Sehubungan itu, Saringin menggesa mereka yang mencari kerja supaya mengunjungi karnival itu dan membuat pilihan terbaik daripada peluang-peluang yang disediakan oleh kerajaan.

Beliau juga gembira bahawa beberapa pengusaha ladang di Sabah seperti Felda Sahabat di Lahad Datu membayar gaji minimum RM900 seperti di Semenanjung dan bukannya RM800 seperti di Sabah, Sarawak dan Labuan kepada para pekerja mereka. “Saya berharap pengusaha ladang lain juga berbuat demikian kerana langkah itu akan menggalakkan lebih ramai rakyat tempatan bekerja di sektor perladangan dan pertanian dan mengurangkan penggantungan kepada pekerja asing,” katanya. – Bernama