143 pelajar lulus dirai

143 pelajar lulus dirai

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Dis – Sekolah Muzik PJC Virtuoso, petang tadi, telah meraikan seramai 143 orang pelajarnya dalam Majlis Resital dan Penyampaian Anugerah yang berlangsung di Hotel Radisson, di ibu negara.

Hadir pada majlis itu ialah Pengarah Urusan Sekolah Muzik PJC Virtuoso, Peter Chin yang turut mengalu-alukan kedatangan ibu bapa serta penjaga para pelajar ke majlis penyampaian anugerah yang diadakan buat kali kedua itu.

Dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah kepada 143 pelajar yang telah lulus dalam peperiksaan luar negara yang dinilai oleh Trinity College London dan Rockschool London serta peperiksaan oleh pihak Sekolah Muzik PJC Virtuoso.

Menurut beliau lagi, selain pelajar yang menerima sijil atas pencapaian mereka, seramai 29 orang pelajar yang telah menunjukkan prestasi sangat baik dalam peperiksaan muzik di dalam mahu pun luar negara turut dianugerahkan pingat Anugerah Virtuoso yang berprestij.

Persembahan muzik oleh pelajar Sekolah Music PJC Virtuoso.
Persembahan muzik oleh pelajar Sekolah Music PJC Virtuoso.

Makna ‘Virtuoso’ selalunya digunakan untuk pemain muzik yang mempunyai kemahiran, teknik atau cara tersendiri yang sangat baik.

Pelajar yang menerima pingat tersebut telah dipilih oleh guru muzik mereka dan diiktiraf oleh panel pemain muzik daripada segi kemahiran masing-masing.

Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian Anugerah Guru Terbaik kepada guru yang telah memberikan sumbangan dalam mengajar para pelajar mahupun kepada sekolah berkenaan.

Penyampaian sijil-sijil pencapaian lulus telah disempurnakan oleh Pengarah Sekolah Muzik PJC Virtuoso, Helen Yeo, manakala itu, Peter Chin menyampaikan Anugerah Virtuoso dan Anugerah Guru Terbaik.

Sekolah Music PJC Virtuoso dibuka pada Februari 2007 dan mempunyai 10 orang guru muzik yang diiktiraf bagi menawarkan latihan Piano, Keyboard, Electric, Guitar, Classic Guitar, Vocals, Drum, Violin, Cello, Saxophone, Clarinet, Flute, Trumpet dan Muzikarten.

Kepada yang berminat boleh menghubungi 2334555, 8600969 bagi sebarang keterangan atau melayari laman web www.pjcvirtuoso.com.

ARTIKEL YANG SAMA