145 ahli PBSM berjaya lalui kem cabaran

145 ahli PBSM berjaya lalui kem cabaran

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mac – Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam telah mengakhiri Kem Cabaran Belia Kebangsaan ‘Lencana Henry Dunant 2016’ dengan jayanya hari ini.

Perkhemahan dihadiri 145 orang ahli PBSM dari 10 buah sekolah di seluruh negara itu juga mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Palang Merah Antarabangsa (IFRC) sebagai kem cabaran terbesar dianjurkan di Asia Pasifik bagi merebut Lencana Henry Dunant yang mencabar itu.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis penutup perkhemahan yang diadakan di Taman Peranginan Tasik Sarubing, Kampung Belimbing, Sungai Akar itu ialah Presiden PBSM Negara Brunei Darussalam, Haji Ismail bin Kassim.

Pengarah Komunikasi dan Perhubungan Awam, PBSM, Awang Faizal bin Gurie ketika ditemu bual berkata, kem cabaran selama empat hari itu melibatkan ujian ketahanan mental dan fizikal.

Tetamu kehormat memeriksa perbarisan anggota PBSM.
Tetamu kehormat memeriksa perbarisan anggota PBSM.
Tetamu kehormat menyampaikan lencana juara kepada peserta Mahad Islam Brunei.
Tetamu kehormat menyampaikan lencana juara kepada peserta Mahad Islam Brunei.
Tetamu kehormat menyampaikan lencana kepada peserta dari pasukan naib juara.
Tetamu kehormat menyampaikan lencana kepada peserta dari pasukan naib juara.
Awang Faizal menunjukkan Lencana Henry Dunant yang menjadi rebutan.
Awang Faizal menunjukkan Lencana Henry Dunant yang menjadi rebutan.

Antara kandungan perkhemahan sehari yang dianjurkan dengan kerjasama Majlis Perundingan Kampung Belimbing itu termasuk mengajar para peserta mengenai pertolongan cemas, perubahan cuaca dan latihan halangan ala ketenteraan bagi merebut Lencana Henry Dunant yang diiktiraf oleh IFRC yang berpangkalan di Geneva, Switzerland.

Beliau berkata, ahli PBSM sekolah perlu melalui proses pemilihan untuk menjadi wakil di peringkat daerah dan seterusnya kebangsaan, bagi pemilihan seterusnya untuk mewakili negara di perkhemahan PBSM SeBorneo pada Disember 2016.

Pada majlis penutup itu juara Kumpulan Terbaik Cabaran Belia Lencana Henry Dunant diraih oleh Pasukan Action 5 dari Mahad Islam Brunei, Tutong, manakala tempat kedua disandang oleh Pasukan RC Sejun dari Sekolah Menengah Rimba dan tempat ketiga ialah Pasukan Neon Tree dari Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, Tutong.

ARTIKEL YANG SAMA