15 belia ikuti kursus FTTH

15 belia ikuti kursus FTTH

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Dengan hasrat berterusan untuk memberikan kemahiran dan kelayakan kepada golongan belia khususnya anak tempatan yang tidak mempunyai pendidikan formal agar diberikan peluang pekerjaan dalam industri yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi, seramai 15 orang belia dipilih bagi mengikuti Kursus FTTH- ‘Fiber To The Home’ kali Pertama Pusat Pembangunan Belia (PPB).

Sehubungan itu, Majlis Penandatanganan Kontrak Perjanjian Bersama Syarikat Mobitech Solution telah diadakan di Dewan Surambi, PPB, hari ini.

Menerusi perjanjian itu, Mobitech Solution adalah sebagai konsultan bagi kursus berkenaan. Belia-belia yang terpilih akan menyertai kursus selama tiga bulan iaitu sebulan bagi latihan ‘In-House’ secara intensif di PPB dan dua bulan lagi bagi latihan industri bersama dengan syarikat-syarikat swasta. Kursus itu dijadualkan bermula pada 5 Oktober nanti.

Pada majlis penandatanganan berkenaan, Syarikat Mobitech Solution yang diwakili oleh Pengurus Am Syarikat Mobitech Solution, Awang Mohd Firdaus bin Abdul Rahman menandatangani kontrak dengan bakal pelatih-pelatih kursus sambil disaksikan oleh Pemangku Penolong Pengarah, Ketua PPB, Awang Haswandi bin Haji Osman.

Kursus FTTH-Fiber To The Home dilaksanakan dengan matlamat untuk memperoleh pengetahuan dan kemahiran mengenai pemasangan optik gentian, pemilihan kabel, penyambungan, menguji penerimaan dan prosedur yang berkaitan dengan pemasangan serta menyelesaikan masalah (trouble shooting) dalam optik gentian.

Majlis menandatangani kontrak perjanjian kursus FTTH kali pertama Pusat Pembangunan Belia.
Majlis menandatangani kontrak perjanjian kursus FTTH kali pertama Pusat Pembangunan Belia.

pg04_151001_b

Ia diharap dapat menanamkan sikap positif terhadap penjagaan, keselamatan kerja dan etika penggunaan sistem optik gentian supaya belia dapat menggunakan kemahiran dengan penuh tanggungjawab.

Peserta yang dipilih untuk menyertai kursus itu harus melalui beberapa sesi pemilihan yang dilaksanakan oleh PPB dan Syarikat Mobitech Solution bagi memastikan mereka benar-benar berminat untuk mengikuti kursus itu.

Antara sesi pemilihan yang dilaksanakan termasuk temu duga, pemeriksaan kesihatan dan Kem Jati Diri yang diadakan selama empat hari di Outward Bound Brunei Darussalam, Temburong.

Kursus itu menyasarkan untuk memberikan kemahiran dan kelayakan yang boleh memberikan peluang pekerjaan kepada anak tempatan khususnya kepada para belia yang tidak mempunyai pendidikan formal di dalam industri-industri yang mempunyai nilai pasaran tinggi serta melahirkan para belia yang berinisiatif, berdikari, berilmu serta memiliki disiplin kerja yang tinggi dan bersedia mencurahkan diri dalam bidang sektor swasta dan awam.

Sebelum para belia berkenaan ditempatkan di syarikat-syarikat swasta dan awam, mereka akan menduduki peperiksaan bertulis dan menjalani penilaian kemahiran praktikal.

Mereka yang berjaya akan dianugerahkan persijilan sebagai Certified FTTH Installer and Splicer (CFIS) oleh Huawei Technologies Co.

ARTIKEL YANG SAMA