15 buah bas disediakan

15 buah bas disediakan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Ogos – Jawatankuasa Pengangkutan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 Tahun bagi Daerah Brunei dan Muara menyediakan sebanyak 15 buah bas ulang–alik (shuttle) bagi mengangkut orang ramai yang ingin menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Brunei dan Muara pada 23 Ogos 2015 di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara.

Perkhidmatan bas ulang-alik itu akan bermula dari kawasan letak kereta Masjid Jame ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, mulai pukul 6 pagi hingga 8.45 pagi menuju ke tempat penurunan di Jalan Cator, Bandar Seri Begawan.

Pemakluman itu dibuat pada persidangan media yang berlangsung di Jabatan Daerah Brunei dan Muara dan dipengerusikan oleh Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Tertinggi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 Tahun bagi Daerah Brunei dan Muara.

Hadir sama pada persidangan media itu ialah Pemangku Penolong Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Rosdin bin Haji Abdul Aziz, para wakil dari agensi kerajaan yang terlibat dengan pengendalian sambutan majlis itu bagi Daerah Brunei dan Muara serta wakil agensi media elektronik dan cetak tempatan.

Awang Misle (tengah) menerangkan mengenai atur cara Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bagi Daerah Brunei dan Muara.
Awang Misle (tengah) menerangkan mengenai atur cara Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bagi Daerah Brunei dan Muara.

Antara isi kandungan penerangan ringkas ialah atur cara bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bagi Daerah Brunei dan Muara pada pagi 23 Ogos 2015 nanti yang mana akan dimulakan sejurus keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerabat diraja kira-kira pada pukul 9 pagi.

Turut dimaklumkan pada persidangan akhbar itu ialah pengumuman dan penerangan mengenai Persembahan Bunga Api yang akan diadakan pada 23 Ogos 2015 bermula pukul 8 malam di Taman Jubli Perak, di ibu negara dan pada 24 Ogos 2015 bertempat di Jerudong Park Amphitheatre, Jerudong.

ARTIKEL YANG SAMA