15 kanak-kanak YASKA dirai

15 kanak-kanak YASKA dirai

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Jun – Seramai 15 orang kanak-kanak dari Yayasan Kanser Kanak-kanak (YASKA) bersama ibu bapa dan penjaga mereka, semalam, telah diraikan dalam Majlis Berbuka Puasa menerusi Projek Jalinan Kasih anjuran Perkhidmatan Radio Brunei bersama Pengurusan Makan Ceria Sdn Bhd.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di McDonald’s, Jerudong, itu ialah Pengarah Radio Televisyen Brunei, Haji Muhammad Suffian bin Haji Bungsu.

Turut hadir ialah Pemangku Ketua Rancangan Radio, Pengiran Ahmad bin Pengiran Haji Mahmud; Pengurus Am Makan Ceria Sdn Bhd, Awang Mohamad Al Fatah bin Haji Seruji; Eksekutif Perolehan Makan Ceria Sdn Bhd, Dayang Norizzah binti Usop dan Pemangku Penolong Ketua Rancangan Radio, Hajah Sahrina binti Haji Mislee.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan disusuli dengan ucapan alu-aluan daripada Dayang Norizzah, kemudian ucapan daripada Pengiran Ahmad.

Dalam ucapannya, Pengiran Ahmad menjelaskan bahawa Projek Jalinan Kasih RTB yang dikendalikan oleh Perkhidmatan Radio ini sudah memasuki kali ke-8 diadakan sejak ia dilancarkan pada tahun 2009.

Haji Muhammad Suffian semasa menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak YASKA.
Haji Muhammad Suffian semasa menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak YASKA.

Projek ini bertujuan untuk memasyarakatkan radio dalam usaha berterusan ke arah mendukung hasrat kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi mewujudkan budaya kehidupan bermasyarakat yang penyayang dan prihatin kepada yang kurang bernasib baik serta memerlukan bantuan dari pelbagai peringkat dan latar belakang kehidupan.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan perasaan gembira dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Makan Ceria Sdn Bhd yang telah tampil menghulurkan sumbangan kepada kanak-kanak YASKA di majlis tersebut.

Majlis berkenaan telah diisikan dengan bacaan Tahllil, sebelum tetamu kehormat menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak YASKA dan diteruskan dengan majlis berbuka. Sementara itu, sumbangan turut diberikan kepada 20 orang kanak-kanak YASKA yang kini berada di hospital.

ARTIKEL YANG SAMA