15 kes penipuan bantuan kebajikan diterima

15 kes penipuan bantuan kebajikan diterima

KUCHING, 17 Ogos (Bernama) – Lima belas kes penipuan untuk mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membabitkan kerugian RM196,000 kepada mangsa direkodkan di Sarawak pada tahun ini.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak dalam kenyataan hari ini berkata mangsa terbabit berusia antara 39 dan 87 tahun.

Kata kenyataan itu, modus operandi penjenayah, mereka akan bergerak dalam kumpulan terdiri daripada dua atau tiga perempuan dan lelaki, berusia 30 tahun ke atas dan ada suspek bergerak secara solo.

“Mangsa terlebih dahulu diminta menyerahkan barang kemas atau mengeluarkan wang dari bank, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan sebagainya kononnya supaya mangsa dilihat sebagai orang susah dan layak untuk menerima bantuan JKM.

“Suspek kemudian akan melarikan diri bersama barang kemas atau wang tunai milik mangsa, sama ada dengan kereta atau berjalan kaki,” katanya.

Sehubungan itu, JSJK menasihatkan orang awam supaya berwaspada dan jangan mudah terpedaya dengan tipu muslihat penjenyah terbabit yang menawarkan diri untuk membantu mangsa mendapatkan bantuan JKM.

Bagaimanapun, polis dalam kenyataannya itu tidak menyatakan beberapa kes sudah berjaya diselesaikan atau sebarang tangkapan sudah dibuat.