15 lesen menangkap ikan dibatalkan

15 lesen menangkap ikan dibatalkan

KUCHING, 11 Ogos – Jabatan Perikanan membatalkan 15 lesen menangkap ikan laut dalam di perairan Sarawak baru-baru ini, dan masih menunggu respons 20 lagi pemegang lesen berkenaan yang diberi surat tunjuk sebab mengapa lesen mereka tidak seharusnya dibatalkan.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata kerajaan bertindak tegas ke atas semua pemilik lesen ini yang berpengkalan di Tanjung Manis, kerana disyaki melakukan pelbagai perbuatan yang melanggar syarat lesen.

Beliau berkata perbuatan itu dikesan terhadap bot yang mendarat di pelabuhan Tanjung Manis sahaja, manakala ia tidak berlaku di pelabuhan lain di Sarawak seperti Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan seminar NKEA Agrikultur Jabatan Perikanan Malaysia di sini hari ini, beliau yang juga Menteri Pemodenan Pertanian Sarawak berkata, sehingga kini terdapat 163 lesen menangkap ikan laut dalam dikeluarkan di Sarawak, dan 95 daripadanya membabitkan nelayan di Tanjung Manis.

Minggu lepas Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dilaporkan berkata tiada lagi lesen menangkap ikan laut dalam dikeluarkan di perairan Sarawak bagi mengelak penyelewengan.

Difahamkan antara penyelewengan yang dikesan adalah seperti tindakan menyewa lesen itu kepada pihak ketiga yang turut membabitkan kalangan nelayan asing, selain gangguan terhadap Sistem Pemantauan Kapal (VMS) yang dipasang di atas kapal. – Bernama