15 maut dalam banjir di tengah India

15 maut dalam banjir di tengah India

NEW DELHI, 10 Julai – Banjir kilat ekoran hujan lebat di negeri tengah India, Madhya Pradesh telah mengorbankan 15 orang, dengan tujuh kematian pada hujung minggu dan beribu-ribu orang lagi berpindah tempat, menurut pihak berkuasa hari ini.

Saluran berita India hari ini menayangkan gambar-gambar bandar yang ditenggelami air di negeri itu, dengan para penduduk terpaksa meredah air pada paras pinggang.

Ketua menteri negeri itu, Shivraj Singh Chouhan meminta para pegawai kanan supaya terus berjaga-jaga dalam tempoh 24 jam akan datang ketika lebih banyak turunan hujan lebat diramalkan.

“Tujuh orang terbunuh dalam sehari lalu, menjadikan angka kematian kepada 15 orang,” Chouhan berkata dalam mesej video di Twitter.

Dia menambah kata bahawa beberapa batang jalan raya utama, masih dilanda banjir selepas turunan hujan lebat selama beberapa hari.

“Dalam tempoh beberapa hari kami telah pun menyelamatkan dan memindahkan kira-kira 6,000 orang ke tempat perlindungan sementara. Kira-kira 500 orang diselamatkan ke tempat lebih selamat semalam,” tambahnya lagi.

Beberapa bahagian tengah India termasuklah Madhya Pradesh juga adalah termasuk dalam beberapa kawasan di India yang terjejas akibat kemarau teruk.

India dicengkam krisis air teruk bertahun-tahun lamanya, dengan 300 juta orang, atau suku penduduk, dalam kepayahan akibat kemarau. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA