15 maut kena bunuh di Mexico

15 maut kena bunuh di Mexico

ACAPULCO, Mexico, 10 Ogos (Reuters) – Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh pada hujung minggu di barat daya negeri Guerrero, termasuk aktivis yang membantu menerajui usaha mencari 43 pelajar yang hilang dan dikatakan dibunuh tahun lepas, menurut para pegawai Mexico.

Sepuluh daripada pembunuhan itu berlaku di bandar peranginan Acapulco, yang dipenuhi dengan pelancong ekoran cuti musim panas, menurut polis tempatan.

Miguel Angel Jimenez, seorang pemimpin pertubuhan komuniti polis, ditemui mati dengan kesan tembakan di dalam sebuah teksi yang dipandunya pada malam Sabtu lepas di pedalaman pinggir Acapulco, menurut polis setempat.

Jimenez mengetuai kumpulan yang mencari hampir 300 orang yang hilang di negeri berkenaan, membantu mendedahkan penemuan kubur besar di sekitar bandar Iguala di mana 43 pelajar Mexico hilang pada tahun lepas.

Kerajaan berkata para pelajar terbabit diculik oleh polis dan diserahkan kepada penyeludup dadah yang dipercayai membunuh pelajar terbabit serta membakar mayat mereka.

Guerrero, yang mempunyai salah satu kadar jenayah tertinggi di negara itu, menyaksikan 1,514 kes homisid pada 2014 dan 943 orang dibunuh setakat ini tahun ini sehingga Jun, menurut statistik persekutuan.

ARTIKEL YANG SAMA