15 maut pertempuran tentera dan militan

15 maut pertempuran tentera dan militan

MANILA, 16 Dis (dpa) – Tiga belas anggota militan Islam dan dua anggota tentera terbunuh dalam pertempuran di selatan Filipina, menurut jurucakap tentera hari ini.

Pertempuran meletus lewat semalam apabila tentera kerajaan menyerang perkhemahan pemberontak Abu Sayyaf yang ada kaitan dengan al-Qaeda di bandar al-Barka dalam wilayah Basilan, 900 kilometer di selatan Manila, menurut Mejar Filemon Tan.

Sepuluh anggota tentera yang lain mengalami kecederaan dalam pertempuran berkenaan, kata Tan.

Di pulau Jolo yang terletak berhampiran pula, tujuh anggota tentera cedera lewat semalam apabila pemberontak Abu Sayyaf menyerang kem tentera di bandar Patikul, kata Brigedier Jeneral Alan Arrojado, komander pasukan petugas wilayah.

Bagaimanapun tiada korban jiwa dilaporkan di kalangan kumpulan militan, kata Arrojado.

Abu Sayyaf adalah kumpulan pemberontak paling kecil tetapi paling berbahaya di selatan Filipina.

Anggotanya dikaitkan dengan aktiviti menculik untuk mendapatkan wang tebusan serta pengeboman di negara berkenaan.