15 maut serangan bom kereta di Mogadishu

15 maut serangan bom kereta di Mogadishu

MOGADISHU, 31 Ogos – Sekurang-kurangnya 15 orang maut apabila pejuang berani mati meletupkan bom kereta di luar sebuah hotel popular berhampiran dengan istana presiden di ibu negara Somalia Mogadishu, kata polis, semalam.

“Jumlah mereka yang terbunuh dalam letupan itu mencecah 15 dan 45 yang lain cedera, kebanyakan mereka mengalami kecederaan ringan,” kata Ketua Polis Mogadishu, Bishar Abshir Gedi.

Beliau berkata, orang awam dan pasukan keselamatan adalah antara mereka yang terbunuh dalam serangan semalam.

Beberapa wartawan yang berada di hotel pada masa serangan itu mengalami kecederaan.

Sebuah kenderaan merempuh pusat pemeriksaan semalam sebelum ia meletup di luar hotel Syl itu.

Seorang anggota perkhidmatan rondaan keselamatan Somalia berada di tempat kejadian bom kereta bunuh diri semalam di Mogadishu. Sekurang-kurangnya 15 orang maut apabila kumpulan jihad meletupkan bom kereta berani mati di luar sebuah hotel popular berhampiran dengan istana presiden. – AFP
Seorang anggota perkhidmatan rondaan keselamatan Somalia berada di tempat kejadian bom kereta bunuh diri semalam di Mogadishu. Sekurang-kurangnya 15 orang maut apabila kumpulan jihad meletupkan bom kereta berani mati di luar sebuah hotel popular berhampiran dengan istana presiden. – AFP

Laporan sebelum ini menyatakan bahawa sebanyak lima terbunuh dan 28 cedera.

Hotel tersebut terletak berhampiran dengan pintu masuk utama ke kompleks kerajaan Villa Somalia yang termasuk istana presiden, bangunan kementerian dan beberapa buah kediaman.

Seorang saksi menyatakan melihat letupan yang besar dan kepulan asap tebal naik tinggi ke udara.

“Saya melihat sebuah kereta memandu laju ke arah kawasan dan asap yang besar dan api naik ke langit,” kata Elmi Ahmed.

Letupan itu mengakibatkan kerosakan secara meluas, bangunan rosak, dinding berdekatan runtuh dan serpihan yang bertaburan di seluruh jalan raya.

Militan rangkaian al-Qaeda, Shabaab mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Minggu lalu, seorang lelaki bersenjata meletupkan bom di luar restoran tepi pantai sebelum menyerang bahagian dalam restoran tersebut dan membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang.

Golongan ini juga telah mengadakan serangan berulang di negara jiran Kenya dan analisis keselamatan baru-baru ini memberi amaran kepada kumpulan itu mengembangkan sayap di Djibouti, Ethiopia, Kenya, Tanzania dan Uganda serta Somalia. – AFP