15 negara sahkan sertai SIFF

15 negara sahkan sertai SIFF

KOTA KINABALU, 29 Jun (Bernama) – Sebanyak 15 negara mengesahkan penyertaan ke Festival Kesenian Rakyat Antarabangsa (SIFF) dari 10 hingga 15 Ogos ini yang akan berlangsung di Pusat Kebudayaan Sabah di Penampang di sini.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Kamarlin Ombi berkata penganjuran festival kali kesepuluh itu menyaksikan peningkatan jumlah penyertaan daripada luar negara.

Negara terlibat ialah Negara Brunei Darussalam, Republik Slovakia, Latvia, Indonesia, Filipina, Korea Selatan, Rusia, Kazakhstan, Taiwan, India, Turki dan Kyrgyzstan, katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri di sini hari ini.

“Pada tahun lalu, kita menerima penyertaan kumpulan tarian rakyat daripada 12 negara tetapi tahun ini jumlah itu meningkat kepada 15 negara,” katanya.

Kamarlin berkata kumpulan tarian rakyat daripada 15 negara itu akan berentap merebut gelaran juara pada Pertandingan Tarian Rakyat Antarabangsa yang merupakan acara kemuncak festival berkenaan.