15 orang terpilih ikuti kursus Android

15 orang terpilih ikuti kursus Android

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 April – Seramai 15 orang peserta telah terpilih untuk mengikuti Kursus Aplikasi Mudah Alih Android anjuran Tech One Solutions Sdn Bhd yang berlangsung selama lima hari di Bangunan Knowledge Hub, Anggerek Desa.

Kursus yang bermula 11 April lalu itu diadakan dengan kerjasama dan sokongan daripada Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi (AITI) dan dikendalikan oleh Jurulatih Korporat bagi Pembangunan Mudah Alih dari iTrain Asia, Wan Muzaffar bin Wan Hashim.

Menurut Pakar Teknologi Tech One Solutions, Awang Mohd Izzuddin bin Mohd Hussin, peserta kursus yang diadakan buat kali pertama itu diberi tunjuk ajar mengenai cara membangunkan aplikasi mudah alih berasaskan platform sistem Android.

Di peringkat akhir kursus, para peserta akan menduduki peperiksaan untuk menguji kebolehan mereka menggunakan apa yang telah dipelajari untuk mencipta aplikasi Android.

Wan Muzaffar yang mengendalikan kursus berkenaan.
Wan Muzaffar yang mengendalikan kursus berkenaan.
Antara yang mengikuti kursus berkenaan.
Antara yang mengikuti kursus berkenaan.

Katanya, semua peserta Kursus Pembangunan Aplikasi Mudah Alih itu dipilih oleh AITI dan kebanyakan mereka adalah peserta CodeNext2015 yang dianjurkan bersama oleh AITI dan TruSynergy.

CodeNext merupakan platform yang digunakan untuk mendedahkan golongan remaja dan profesional kepada dunia pengaturcaraan yang bermatlamat meningkatkan kesedaran dan minat ke arah pengaturcaraan pembangunan aplikasi dengan menyediakan peluang untuk mempelajari dan mencipta aplikasi mudah.

Ketika ditanya apa aktiviti Tech One Solutions seterusnya, Awang Mohd Izzuddin berkata, pihak beliau akan menganjurkan Kursus IOS yang berkemungkinan pada Mei atau Jun dan Kursus Windows kira-kira sebulan kemudian.

ARTIKEL YANG SAMA