15 pelajar ALAF kunjungi Singapura

15 pelajar ALAF kunjungi Singapura

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Lima belas orang pelajar pintar yang kurang bernasib baik yang berdaftar dalam Program Sokongan Pembelajaran Sepanjang Hayat (ALAF) Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), baru-baru ini, diberikan ganjaran atas pencapaian akademik mereka dengan lawatan pendidikan selama empat hari menerokai Singapura.

Ketua Projek-projek Khas dan Hubungan Kerajaan BIBD, Haji Minorhadi bin Haji Mirhassan dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini dipetik sebagai berkata, “Pelajar-pelajar ALAF telah memperlihatkan keazaman kuat untuk mengatasi kesusahan dan menunjukkan prestasi cemerlang, kami berharap lawatan yang layak mereka terima ini akan mendorong pelajar-pelajar muda cemerlang ini untuk terus mencapai kecemerlangan.

BIBD dalam kenyataannya, menyatakan bahawa Singapura dipilih kerana ia memberikan para pelajar peluang untuk meluaskan pandangan hidup mereka dan mempelajari bagaimana negara kota itu merubah ekonominya menjadi ekonomi yang maju dan dinamik.

Lawatan ini akan menjadi inspirasi kepada peneraju-peneraju muda Brunei pada masa hadapan untuk mencapai Wawasan Negara 2035, dengan mengubah Negara Brunei Darussalam menjadi sebuah negara yang secara meluas terkenal dengan kejayaan warganegara yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi, kehidupan berkualiti tinggi serta ekonomi dinamik dan berdaya tahan.

Antara pelajar yang menerima ganjaran atas pencapaian akademik dengan membuat lawatan ke Singapura.
Antara pelajar yang menerima ganjaran atas pencapaian akademik dengan membuat lawatan ke Singapura.

Semasa lawatan pendidikan itu, para pelajar menyimpan jurnal harian untuk mendokumenkan lawatan mereka. Menggambarkan pengalaman mereka, para pelajar telah membincangkan apa yang boleh diamalkan berdasarkan pemerhatian mereka sementara mengekalkan nilai-nilai keBruneian, ketika sesi perkongsian yang diadakan pada akhir lawatan.

Diiringi oleh guru-guru petugas ALAF dan pegawai-pegawai BIBD, para pelajar telah melawat mercu-mercu tanda dan tempat tarikan termasuklah Pusat Sains Singapura, Muzium Negara dan Universal Studios.

Guru petugas ALAF, Hajah Shukrinah binti Haji Ibrahim dipetik sebagai berkata “Di luar bilik darjah, pengalaman para pelajar di Singapura akan membantu memupuk kreativiti mereka, bahagian penting dalam pembelajaran sepanjang hayat.”

ARTIKEL YANG SAMA