15 pelajar CG terima sijil

15 pelajar CG terima sijil

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jun – Seramai 15 pelajar yang menyertai Program Profesional Grafik Komputer di Akademik Grafik Komputer (CG) telah menerima sijil mereka hari ini pada Majlis Graduasi Grafik Komputer di Dewan Lobi, Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Anggerek Desa, di sini.

Majlis yang julung-julung kalinya dianjurkan oleh Sesame World Technology (B) Sdn Bhd itu telah dirasmikan oleh tetamu kehormat, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI), Pengiran Haji Mohd Zain bin Pengiran Haji Abdul Razak.

Turut hadir mengalu-alukan tetamu kehormat ialah Ketua Pegawai Eksekutif Sesame World Technology, Yang Jianfeng dan juga Naib Presidennya, Zhang Jingjing.

Yang Jianfeng dalam ucapannya antara lain menyatakan bahawa ini bukanlah penamat bagi program berkenaan, akan tetapi sebenarnya ia adalah permulaan industri yang baru di mana matlamat syarikat itu adalah untuk membangun industri grafik komputer di Negara Brunei Darussalam.

Sesame World Technology komited untuk mengembangkan bakat tempatan dalam grafik komputer dan telah menjalankan kursus grafik komputer selama sembilan bulan untuk 15 pelajar tempatan berkenaan.

Para pelajar bergambar ramai bersama tetamu kehormat dan ketua pegawai eksekutif Sesame World Technology. – Gambar oleh Danial Norjidi
Para pelajar bergambar ramai bersama tetamu kehormat dan ketua pegawai eksekutif Sesame World Technology. – Gambar oleh Danial Norjidi

Dalam kursus itu, para pelajar berkenaan telah mengendalikan program ‘pilot 3D Architectural Computer Graphics’ antara 1 Julai 2015 hingga 31 Mac 2016, di Bangunan Knowledge Hub (KHub).

Ia adalah kali pertama sebuah program intensif sepenuh masa untuk membangunkan bakat tempatan dalam pasaran seni dan kreatif seni bina grafik komputer 3D yang dilakukan di negara ini.

Antara tujuan program berkenaan adalah untuk mewujudkan kemahiran dalam seni bina komputer grafik 3D bagi bakat-bakat tempatan. Kemahiran animasi mereka juga boleh digunakan bagi industri perfileman.

Sesame World Technology (B) Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat teknologi Brunei-China yang mempunyai pusat penyelidikan utama di Brunei serta ibu pejabat globalnya bertempat di Beijing, China.

ARTIKEL YANG SAMA